KKM Lulus Elaun Perpindahan Penuh, Mudahkan Doktor Bertugas Di Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR: Kekangan kewangan akibat kos berpindah tidak lagi sepatutnya menjadi penghalang kepada pegawai perubatan yang menerima penempatan di Sabah dan Sarawak apabila Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan tuntutan elaun perpindahan penuh bagi membantu petugas terbabit.

KKM berkata, kelulusan itu dicapai menerusi persetujuan Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sekali gus menyelesaikan isu tuntutan kos perpindahan bagi pegawai perubatan lantikan tetap kohort 2025.

Malah, manfaat berkenaan turut diteruskan kepada pegawai lantikan 2026 dan seterusnya sebagai sebahagian daripada usaha kementerian memastikan penempatan rentas wilayah tidak membebankan petugas kesihatan dari sudut kewangan.

Menurut KKM, inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam menghargai pengorbanan serta khidmat bakti pegawai perubatan yang bersedia berkhidmat di lokasi memerlukan, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Penjelasan itu dibuat susulan isu yang tular di media sosial berhubung dakwaan beberapa doktor berdepan kesukaran melapor diri di kedua-dua negeri berkenaan kerana tidak diberikan kemudahan tuntutan kos perpindahan.

KKM berkata, kelulusan tersebut turut selari dengan 20 Inisiatif Kerajaan MADANI Untuk Kesejahteraan Petugas KKM, yang memperuntukkan kelayakan tuntutan elaun perpindahan penuh kepada pegawai yang bertukar status kepada lantikan tetap.

Dalam perkembangan berkaitan, kementerian memaklumkan isu kekurangan doktor serta ketidakseimbangan penempatan pegawai perubatan di fasiliti kesihatan awam kini dapat ditangani secara berperingkat selepas diberikan autonomi oleh JPA untuk mengurus dan mengagihkan perjawatan sendiri.

Menurutnya, langkah itu membolehkan pengagihan tenaga kerja kesihatan dilaksanakan dengan lebih berkesan mengikut keperluan fasiliti dan kawasan.

Bagi memperkukuh usaha berkenaan, kerajaan turut menawarkan pelantikan tetap kepada 4,500 pegawai perubatan kontrak tahun ini sebagai langkah jangka panjang menangani kekurangan tenaga kerja dalam sektor kesihatan.

Selain itu, KKM sejak tahun lalu menambah baik sistem ePlacement dengan mewajibkan pegawai perubatan kontrak yang menerima pelantikan tetap memilih sekurang-kurangnya satu penempatan di Sabah, Sarawak atau Labuan.

Dalam usaha mempercepatkan penempatan tenaga perubatan baharu, tempoh menunggu bagi penempatan program latihan siswazah perubatan juga berjaya dikurangkan kepada dua bulan berbanding lebih 10 bulan sebelum ini.

KKM berkata, beberapa langkah itu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan keperluan tenaga perubatan dapat dipenuhi dengan lebih seimbang, selain memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat di seluruh negara.

BBerkaitan

Latest articles