Tiga Bekas MP Kembali Sertai PKR Selepas Rayuan Diluluskan

KUALA LUMPUR: Selepas meninggalkan PKR ketika parti itu berdepan krisis politik susulan Langkah Sheraton pada 2020 dan 2021, tiga bekas Ahli Parlimen kini kembali ke pangkuan parti selepas rayuan mereka diluluskan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Mereka ialah Datuk Seri Edmund Santhara Kumar (Segamat), Datuk Kamarudin Jaffar (Bandar Tun Razak) dan Steven Choong (Tebrau).

Menurut laporan Malaysiakini, keputusan menerima semula ketiga-tiga bekas wakil rakyat itu dibuat dalam mesyuarat MPP pada 27 September lalu.

Santhara dan Kamarudin merupakan antara 11 Ahli Parlimen PKR yang bertindak keluar parti selepas Langkah Sheraton pada 2020, sekali gus menyumbang kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Kedua-duanya kemudian menyertai Bersatu yang menjadi sebahagian daripada gabungan kerajaan baharu ketika itu.

Choong pula meninggalkan PKR pada Februari 2021 bersama Ahli Parlimen Julau, Larry Sng, selepas kedua-duanya menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, kelulusan menyertai semula PKR itu tidak bermakna segala pertikaian terdahulu antara parti dengan bekas wakil rakyat berkenaan telah selesai.

Ini kerana surat kelulusan penerimaan semula mereka secara jelas menyatakan keputusan itu tidak menjejaskan pendirian PKR berhubung bon yang ditandatangani sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Sebarang perkara yang timbul berkaitan perkara ini tertakluk kepada perbincangan antara anda, bendahari agung dan Presiden,” menurut petikan surat berkenaan yang disiarkan Malaysiakini.

Pada Februari lalu, PKR memfailkan saman terhadap Santhara, Kamarudin dan empat lagi bekas Ahli Parlimen berhubung dakwaan pelanggaran syarat bon bernilai RM10 juta.

Bon berkenaan menetapkan kewajipan pembayaran sekiranya seseorang calon memenangi kerusi Parlimen menggunakan tiket PKR, tetapi kemudiannya meletakkan jawatan daripada parti, menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Kepulangan tiga bekas Ahli Parlimen itu turut menyusul selepas bekas Naib Presiden PKR, Datuk Dr Xavier Jayakumar, mengesahkan bulan lalu bahawa beliau telah kembali menyertai parti berkenaan.

Portal berita PKR, Suara Keadilan, turut melaporkan seorang lagi bekas naib presiden, Tian Chua, telah diterima semula dalam parti.

Bagaimanapun, perkembangan itu berlaku ketika PKR turut berdepan gelombang pengunduran beberapa pemimpin kanan, termasuk bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli; bekas Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad; serta Wong Chen.

Rafizi dan Nik Nazmi sebelum ini keluar parti pada Mei untuk menerajui gerakan Bersama, manakala Wong Chen meninggalkan PKR pada Ogos.

Terbaharu, bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mengumumkan peletakan jawatannya sebagai wakil rakyat dan menyatakan hasrat meninggalkan PKR pada Isnin.

BBerkaitan

Latest articles