Keluarga Yap Shing Xuen Saman Agensi Kerajaan, Ibu Bapa Remaja Tertuduh

KUALA LUMPUR: Keluarga Yap Shing Xuen, 16, yang maut ditikam rakan sekolah lelaki di sebuah sekolah di Bandar Utama, tahun lalu, mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan saman sivil terhadap beberapa agensi kerajaan serta ibu bapa remaja terbabit.

Saman berkenaan difailkan menerusi firma guaman Tetuan Surendra Ananth di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu, selain turut menamakan remaja lelaki yang didakwa melakukan pembunuhan itu sebagai defendan.

Dalam kenyataan, keluarga mangsa menegaskan tindakan berkenaan bukan didorong keinginan untuk membalas dendam, sebaliknya bertujuan memastikan semua pihak yang mempunyai tanggungjawab dipertanggungjawabkan atas tragedi yang meragut nyawa anak mereka.

Malah, mereka percaya kejadian itu sebenarnya boleh dielakkan sekiranya pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan tanda-tanda dan maklumat yang telah diketahui sebelum tragedi berlaku.

“Berdasarkan semua fakta yang terdedah sejak kematiannya, khususnya sepanjang perbicaraan jenayah, kami amat percaya pembunuhannya boleh dicegah sekiranya pihak berkaitan mengambil langkah yang sepatutnya,” menurut kenyataan itu.

Keluarga berkenaan turut mempersoalkan kegagalan agensi kerajaan yang dinamakan sebagai defendan dalam melaksanakan tanggungjawab undang-undang bagi menangani isu kesihatan mental dalam persekitaran sekolah.

Menurut mereka, tanggungjawab itu bukan sekadar menyediakan bantuan selepas sesuatu kejadian berlaku, malah merangkumi langkah pencegahan awal bagi mengesan dan menangani sebarang petanda sebelum keadaan menjadi lebih serius.

Selain agensi kerajaan, ibu bapa remaja lelaki terbabit turut dinamakan sebagai defendan atas alasan terdapat tanda-tanda amaran yang jelas dan mereka mempunyai tanggungjawab memastikan anak mereka tidak mendatangkan bahaya kepada orang lain.

Keluarga mangsa akan diwakili peguam Malik Imtiaz dan A Surendra Ananth dalam tindakan sivil berkenaan.

Pada 14 September lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan remaja berusia 15 tahun itu daripada pertuduhan membunuh Shing Xuen selepas mendapati dia tidak waras ketika kejadian berlaku.

Bagaimanapun, Hakim Adlin Abdul Majid memerintahkan remaja itu ditahan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, untuk menjalani rawatan mengikut perkenan Sultan Selangor.

Susulan keputusan itu, Jabatan Peguam Negara pada 24 September mengesahkan telah memfailkan notis rayuan.

Remaja lelaki berkenaan didakwa menikam Shing Xuen, pelajar Tingkatan Empat, sehingga maut di tandas perempuan sekolah mereka antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.

BBerkaitan

Latest articles