Undang Dakwa Tuanku Muhriz Langgar Perjanjian 1898, Campur Tangan Urusan Adat

KUALA LUMPUR: Empat individu yang mendakwa sebagai Undang Negeri Sembilan bersama Tunku Besar Tampin mempertahankan tindakan melucutkan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar, dengan mendakwa baginda melanggar Perjanjian 1898.

Dalam kenyataan setebal 12 muka surat, kumpulan pembesar itu mendakwa Tuanku Muhriz melanggar dua fasal perjanjian berkenaan apabila didakwa campur tangan dalam urusan adat di Luak Rembau dan Luak Sungai Ujong, selain menerima aduan terhadap Undang yang dilantik mereka.

Mereka turut mempersoalkan tindakan baginda mendengar aduan terhadap Abdul Rahim Yasin yang mendakwa dirinya Undang Rembau, daripada pihak yang bertelagah dalam proses pemilihan jawatan berkenaan.

Dakwaan itu dikemukakan walaupun Dewan Keadilan dan Undang (DKU) sebelum ini mengesahkan pelantikan Rahim pada Julai 2025. Bagaimanapun, dalam kenyataan pada 1 Ogos lalu, DKU menjelaskan bahawa beliau tidak pernah dilantik secara rasmi.

Kumpulan itu juga mendakwa Mubarak Dohak, yang mendakwa dirinya Undang Sungai Ujong, dilucutkan jawatan selepas mengetuai siasatan berhubung dakwaan campur tangan Tuanku Muhriz dalam urusan Luak Rembau.

“Berdasarkan fakta-fakta ini, (kami) menegaskan bahawa Tuanku Muhriz sabit mencampuri urusan Luak Rembau dan Luak Sungei Ujong, dan bertindak untuk menjatuhkan pemerintah kedua-dua luak itu,” menurut kenyataan berkenaan.

Bagi mengukuhkan dakwaan mereka, kumpulan itu berhujah bahawa Perjanjian 1898 antara Yang Dipertuan Besar dengan empat Undang ketika itu menjadi asas kepada Perlembagaan Negeri Sembilan.

Mereka turut merujuk Perjanjian 1934 yang didakwa memperakui semula terma perjanjian terdahulu, selain Perkara 32 Perlembagaan Negeri yang menyatakan bahagian pertama perlembagaan itu tidak menjejaskan perlembagaan dan adat purba Negeri Sembilan.

Krisis institusi diraja negeri itu tercetus pada April lalu apabila kumpulan terbabit mengumumkan pelucutan takhta Tuanku Muhriz tanpa mengemukakan alasan serta bukti ketika pengumuman dibuat.

Susulan tindakan itu, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar diisytiharkan sebagai Yang Dipertuan Besar baharu oleh salah seorang individu berkenaan dalam satu majlis di sebuah hotel di Melaka, manakala beberapa yang lain menyertainya secara dalam talian.

Bagaimanapun, DKU selaku badan adat tertinggi negeri berulang kali menegaskan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.

Dalam perkembangan sama, kumpulan berkenaan turut mendakwa Tuanku Muhriz mengetepikan peranan mereka apabila gagal mengadakan rundingan sebelum mesyuarat Majlis Raja-Raja serta berhubung pelantikan mufti negeri.

Mereka merujuk Perkara 28(2) Perlembagaan Negeri yang mentakrifkan istilah ‘pemerintah’ sebagai Yang Dipertuan Besar yang bertindak bersama majoriti Undang dalam melaksanakan kuasa budi bicara di bawah Perkara 40(2).

Peruntukan itu, menurut mereka, merangkumi kuasa pemerintah dalam pelantikan Menteri Besar serta pelaksanaan fungsi berkaitan kedudukan baginda sebagai ketua agama Islam negeri dan hal ehwal adat Melayu.

Justeru, kumpulan terbabit berhujah bahawa rundingan bersama Undang perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan berkaitan mesyuarat Majlis Raja-Raja dan pelantikan mufti dimuktamadkan.

BBerkaitan

Latest articles