Lebih Sebulan Hilang Dalam Banjir Nepal, Seorang Daripada 55 Rakyat Malaysia Dilapor Selamat

KUALA LUMPUR: Selepas lebih sebulan gagal dihubungi keluarga, seorang daripada 55 rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang susulan bencana banjir dan tanah runtuh di Nepal akhirnya disahkan selamat dan sudah kembali ke tanah air pagi tadi.

Perkembangan itu disahkan Gabungan waris mangsa menerusi Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH), sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada keluarga yang masih menantikan khabar berita mengenai nasib ahli keluarga masing-masing.

Jurucakap MASFIH, Manivannan Rethinam berkata, individu terbabit yang merupakan pengembara solo berbangsa Cina, hadir sendiri ke Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu pada 1 Oktober lalu selepas terkandas akibat kerosakan jalan raya, kemusnahan jambatan serta terputus hubungan komunikasi.

Menurutnya, lelaki itu berada di Nagthali Viewpoint pada 25 Ogos sebelum gagal dihubungi berikutan gangguan bekalan elektrik dan kemudahan komunikasi serta laluan perhubungan yang musnah.

“Beliau berada di Nagthali Viewpoint pada 25 Ogos sebelum terputus hubungan akibat jalan dan jambatan rosak serta ketiadaan bekalan elektrik dan talian komunikasi.

“Ini memberi gambaran jelas bahawa mangsa boleh berada dalam keadaan selamat walaupun terpencil buat tempoh yang panjang,” katanya dalam satu kenyataan.

Manivannan berkata, perkembangan itu turut memberi gambaran bahawa kehilangan hubungan komunikasi tidak semestinya bermakna seseorang menjadi mangsa korban bencana atau berada dalam keadaan berbahaya.

Bagaimanapun, nasib baki 54 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan terus menjadi kebimbangan keluarga masing-masing.

Beliau berkata, kumpulan itu terdiri daripada 42 warga berbangsa India, 11 Melayu dan seorang Cina yang bergerak dalam lima kumpulan berasingan.

Dalam perkembangan sama, MASFIH merayu agar diberikan ruang mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Pertemuan itu bertujuan membincangkan kebimbangan waris serta beberapa isu berbangkit yang memerlukan perhatian dan penjelasan pihak berkaitan.

Sebelum ini, lebih 50 rakyat Malaysia di Nepal dilaporkan gagal dihubungi keluarga masing-masing susulan banjir besar pada 26 Ogos lalu yang turut mengorbankan lebih 160 nyawa.

Bencana berkenaan menyebabkan beberapa perkampungan, jambatan dan projek tenaga dihanyutkan arus deras, selain menyaksikan ratusan penduduk tempatan serta warga asing dilaporkan belum diketahui nasib mereka.

Sekurang-kurangnya 142 warga India turut dilaporkan hilang dalam kejadian itu.

Pada hari sama, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) turut merekodkan satu kejadian seismik bermagnitud 5.2 berhampiran sempadan Nepal-China pada jam 8.37 pagi waktu tempatan.

BBerkaitan

Latest articles