KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggantung perkhidmatan My E.G. Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd di bawah Kumpulan MYEG sebagai ejen kutipan bagi pihak jabatan itu, berkuat kuasa 12.01 tengah malam, 5 Oktober ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian serta beberapa obligasi tertunggak yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh syarikat terbabit.
“JPJ ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan My E.G. Sdn Bhd dan Zetrix AI Berhad di bawah Kumpulan MYEG sebagai ejen kutipan bagi pihak JPJ akan digantung berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam, 5 Oktober,” katanya.
Susulan keputusan itu, semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan menerusi saluran Kumpulan MYEG turut akan digantung mulai tarikh sama.
Bagaimanapun, JPJ memberi jaminan perkhidmatannya kepada orang ramai akan terus beroperasi seperti biasa menerusi saluran rasmi dan alternatif yang disediakan jabatan itu.
Perkembangan terbaharu itu berlaku pada hari sama Kementerian Pengangkutan dilaporkan mengesahkan terdapat tunggakan melebihi RM200 juta membabitkan kutipan hasil kerajaan oleh Zetrix AI, yang sebelum ini dikenali sebagai MyEG Services Bhd.
Menurut laporan The Edge yang memetik pengesahan jurucakap Kementerian Pengangkutan, jumlah berkenaan membabitkan wang yang dikutip daripada pengguna bagi urusan antaranya pembaharuan cukai jalan, lesen memandu serta pembayaran saman trafik tetapi masih belum diserahkan kepada JPJ.
Laporan berasingan yang memetik dokumen rasmi kerajaan mendakwa tunggakan itu berlaku sejak bermulanya kontrak perkhidmatan selama tiga tahun pada Mei 2023.
Kementerian Pengangkutan dilaporkan sedang mempertimbangkan tindakan selanjutnya termasuk memastikan jumlah tertunggak berkenaan dapat diperoleh semula.
Zetrix AI sebelum ini dikenali sebagai My E.G. Services Bhd sebelum pertukaran nama syarikat berkuat kuasa pada Jun 2025.
Kumpulan berkenaan mempunyai sejarah panjang sebagai penyedia perkhidmatan kerajaan secara dalam talian termasuk urusan berkaitan JPJ.
Laporan tahunan MYEG bagi 2023 turut merekodkan bahawa MyEG dan anak syarikat milik penuhnya, My E.G. Sdn Bhd, menerima surat daripada JPJ yang mengesahkan pelantikan mereka sebagai ejen kutipan bagi perkhidmatan pendaftaran kenderaan, pelesenan pemandu dan kenderaan serta pembayaran saman secara elektronik untuk tempoh tiga tahun.










