‘Dah Setahun Tak Aktif PKR, Kalau Tak Minat Pergilah Baik-baik’ – Anwar Balas Chean Chung

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keputusan Lee Chean Chung melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya tidak perlu dipersoalkan sekiranya bekas wakil rakyat itu sudah tidak lagi berminat untuk bersama PKR.

Presiden PKR itu berkata, Lee sebenarnya sudah lama tidak melibatkan diri dalam urusan parti, termasuk tidak menghadiri mesyuarat serta kongres PKR sejak kira-kira setahun lalu.

“Dia dah lama, setahun dia tak pernah campur soal urusan parti. Mesyuarat-mesyuarat parti tak pernah hadir, kongres pun tak hadir.

“Kalau dah tak minat, tak ada masalah. Pergi dengan baik. Terima kasih atas sumbangan selama ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Kuarters TUDM Sungai Besi, hari ini.

Kenyataan itu menyusul tindakan Lee mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya berkuat kuasa serta-merta, selepas keahliannya dalam PKR digantung selama tiga tahun pada 30 September lalu. Surat peletakan jawatan berkenaan telah diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, semalam.

Lee turut memaklumkan akan mengemukakan surat rasmi untuk keluar daripada PKR pada Isnin ini.

Sebelum mengambil keputusan itu, Lee mendakwa akses kepada peruntukan RM3 juta bagi kawasan Petaling Jaya telah disekat, selain pengurusan dana berkenaan diambil alih wakil parti.

Beliau juga mempersoalkan hala tuju Kerajaan Perpaduan, termasuk berkaitan rasuah, penyalahgunaan kuasa, reformasi institusi serta beberapa kes berprofil tinggi.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan perubahan kedudukan wakil rakyat tidak akan menjejaskan pelaksanaan projek pembangunan di Petaling Jaya.

Menurutnya, kerajaan memastikan pelbagai projek membabitkan sekolah, surau, masjid, kuil dan jalan raya terus dilaksanakan tanpa bergantung kepada kedudukan seseorang Ahli Parlimen.

“Peruntukan kawasan tak terjejas. Sekolah, surau, masjid, kuil, jalan, apa-apa itu kita telah pastikan projek berjalan.

“Tidak perlu Ahli Parlimen. Dia nak bagi pandangan, kita boleh terima, tapi tidak bermaksud Ahli Parlimen itu berhenti, projek juga terhenti. Tak betul,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan PKR mengambil tindakan undang-undang terhadap Lee, Anwar berkata perkara itu diserahkan kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh, dan Jawatankuasa Perundangan parti.

Pada Jun lalu, Lee terlebih dahulu meletakkan jawatan sebagai anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR selepas 18 tahun bersama parti itu, namun ketika itu menegaskan beliau kekal sebagai ahli dan akan meneruskan tugas sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya sehingga Parlimen dibubarkan.

BBerkaitan

Latest articles