​PUTRAJAYA: Kerajaan menetapkan 1 Oktober 2026 sebagai tarikh kuat kuasa Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 [Akta 869] serta pindaan berkaitan kepada Perlembagaan Persekutuan berikutan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
​Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penguatkuasaan akta tersebut merupakan pencapaian penting dalam agenda reformasi institusi serta satu detik bersejarah bagi Parlimen Malaysia.
​Beliau menjelaskan bahawa langkah itu menyusuli pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 [Akta 394] menerusi Akta Perlembagaan (Pindaan) 1992 [Akta A837] yang berkuat kuasa pada 20 November 1992.
​”Setelah lebih tiga dekad, Akta 869 mengembalikan semula autonomi Parlimen melalui pewujudan suatu perkhidmatan khusus yang membolehkan Parlimen menguruskan pentadbiran, sumber manusia dan hal ehwalnya dengan lebih bebas dan berkesan,” ujar beliau.
​Beliau menambah bahawa ia sekali gus memperkukuh kedudukan Parlimen sebagai badan perundangan tertinggi dalam sistem demokrasi berparlimen negara, di samping mencerminkan komitmen kerajaan yang mendukung prinsip doktrin pengasingan kuasa serta sistem semak dan imbang antara cabang perundangan, eksekutif dan kehakiman.
​Menurut Azalina, dengan autonomi institusi yang lebih kukuh itu, Parlimen dapat melaksanakan fungsi perlembagaan serta tanggungjawabnya kepada rakyat dengan lebih bebas, berkesan dan berwibawa.
​”Sehubungan dengan itu, saya merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri merangkap Ketua Majlis Parlimen, Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Barisan Jemaah Menteri, Ahli-Ahli Parlimen, Parlimen Malaysia, Jabatan Peguam Negara serta semua kementerian, jabatan, agensi dan pihak berkepentingan termasuk badan bukan kerajaan serta organisasi masyarakat sivil atas kerjasama dan sumbangan dalam merealisasikan reformasi penting ini,” katanya.
​Beliau menegaskan bahawa kerajaan akan terus melaksanakan agenda reformasi institusi secara tersusun dan berterusan bagi memperkukuh institusi demokrasi negara serta memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara terus terpelihara.










