Ayob Khan Terajui Jawatankuasa Integriti FAM

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay diberi tanggungjawab menerajui Jawatankuasa Integriti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi baki penggal 2025-2029.

Pelantikan itu diputuskan dalam Mesyuarat Keenam Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM penggal 2025-2029 yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan, berkata pemilihan tokoh dari luar barisan Exco untuk mengetuai beberapa jawatankuasa tetap dibuat berdasarkan kredibiliti, pengalaman serta kepakaran masing-masing.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memperkukuh sistem tadbir urus dan memastikan pengurusan badan induk bola sepak negara dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Bagi Jawatankuasa Integriti, Ayob Khan dilantik sebagai pengerusi, manakala timbalannya ialah Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain.

“Kita mahu mereka yang mempunyai kredibiliti untuk mentadbir jawatankuasa berkenaan dan memastikan pengurusan serta tadbir urus FAM dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.

Dalam mesyuarat sama, FAM turut melantik pengerusi dan timbalan pengerusi bagi 11 jawatankuasa tetap bagi memastikan aspek pengurusan, integriti, pembangunan dan operasi bola sepak negara dapat digerakkan secara tersusun.

Selain Jawatankuasa Integriti, beberapa individu berpengalaman dari luar Exco turut diberikan kepercayaan untuk mengetuai jawatankuasa berkaitan.

Bagi Jawatankuasa Stadium dan Keselamatan, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dilantik sebagai pengerusi, manakala Mohd Rozi Jidin sebagai timbalan.

N Saaran pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang selain memegang jawatan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan.

Sementara itu, Rosmadi Ismail dipertanggungjawabkan mengetuai Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan serta dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bolasepak Kebangsaan.

Ab Ghani berkata semua pengerusi jawatankuasa tetap diberikan tempoh tujuh hari bekerja untuk mengemukakan senarai anggota masing-masing supaya tugas dan fungsi jawatankuasa dapat dimulakan segera.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan Datuk Noor Azman Rahman kekal sebagai Setiausaha Agung FAM, manakala Ismail Karim meneruskan tanggungjawab sebagai Bendahari FAM.

Katanya, kontrak Noor Azman masih berkuat kuasa sehingga penghujung tahun depan, manakala pelantikan Ismail disambung bagi melengkapkan baki penggal kepimpinan FAM 2025-2029.

Pelantikan barisan baharu itu dilihat menjadi antara langkah FAM memperkemas struktur pengurusan badan induk berkenaan, khususnya dalam aspek integriti, keselamatan, perundangan dan pembangunan bola sepak negara.

BBerkaitan

Latest articles