KOTA BHARU: Ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador, mengetuai senarai 779 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang ke-57, hari ini.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan APEX Equity itu merupakan penerima tunggal bagi Darjah Pahlawan Yang Amat Gagah Perkasa (PYGP).
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal, berkata ia diikuti Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, yang dianugerahkan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) yang membawa gelaran Datuk.
Katanya, istiadat itu disempurnakan Sultan Muhammad V di Istana Balai Besar, di sini, dengan seramai 44 individu menerima gelaran Datuk.
Beliau berkata, mereka yang menerima gelaran Datuk termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dianugerahkan SJMK, dan Pengarah Urusan Sentosa Jaya Sdn Bhd, Datuk Razali Daud.
Katanya, tiga penerima dianugerahkan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPKK) dan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK) yang turut membawa gelaran Datuk.
Mereka ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman; serta Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan, Datuk Seri Ab Rahim Ab Rahman.
Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj berkata, 13 individu dianugerahkan Ahli Yang Kedua (Dato Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) yang membawa gelaran Datuk.
Mereka termasuk Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail; Konsul Kehormat Gambia ke Malaysia, Tengku Shamsulbhari Tengku Azman Shah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chetok, Zuraidin Abdullah; dan Setiausaha Muslimat PAS Kelantan, Wan Ubaidah Omar.
Enam penerima dianugerahkan Ahli Yang Kedua (Dato Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (DPKK), manakala 16 menerima Ahli Yang Kedua (Dato Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK), di mana kedua-duanya juga membawa gelaran Datuk.
Seterusnya, Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj berkata, Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1 Bukit Aman, Datuk Mohd Hairuddin Che Hamid, dianugerahkan Ahli Yang Kedua (Dato Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (DPJK).
Selain itu, seramai 12 individu dilantik sebagai Jaksa Pendamai (JP).
Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj berkata, istiadat terbabit bermula jam 10 pagi tadi dengan sesi hari ini membabitkan seramai 133 orang, manakala baki penerima dijadualkan pada awal tahun depan.










