Gara-gara Cemburu, Lelaki Ceroboh Rumah Tikam Dua Beradik

KUALA LUMPUR: Niat seorang lelaki menyelinap masuk ke sebuah rumah di Taman Sri Bintang, Kepong di sini berakhir dengan penahanan polis selepas dia bertindak mencederakan dua beradik dalam kejadian awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri bin Abdul Salam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan MERS999 daripada orang awam pada jam lebih kurang 5.04 pagi, 29 September 2026, selepas suspek dilaporkan menceroboh kediaman berkenaan.

“Pihak polis yang tiba di tempat kejadian mendapati terdapat kesan bakar pada bahagian luar rumah sebelum menemui dua mangsa warganegara Malaysia yang juga adik-beradik sedang bersembunyi di dalam tandas bilik bawah dalam keadaan cedera,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati suspek yang merupakan bukan warganegara Malaysia berada di tingkat atas bilik rumah tersebut sambil memegang sebilah pisau.

“Pihak polis berjaya menangkap suspek serta merampas pisau yang digunakan.

“Pemeriksaan mendapati kedua-dua mangsa serta suspek turut mengalami kecederaan akibat kesan tikaman,” ujarnya.

Mengulas lanjut, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa cemburu suspek terhadap salah seorang mangsa kerana berhubung semula dengan bekas teman lelaki.

Kedua-dua mangsa bersama suspek telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) menggunakan ambulan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Polis Kuala Lumpur menegaskan komitmen berterusan dalam menguatkuasakan undang-undang demi memelihara keselamatan serta ketenteraman awam.

Polis turut menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah agar segera menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222 atau tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran.

BBerkaitan

Latest articles