Anthony Loke Tetap Letak Jawatan, Berkuatkuasa Tarikh Najib Pulang Ke Rumah

KUALA LUMPUR: Anthony Loke Siew Fook menegaskan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan akan berkuat kuasa sebaik sahaja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak keluar dari penjara untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, perkara berkenaan dibincangkan secara langsung bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pertemuan mereka semalam.

Menurut Loke, beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Anwar dan menjelaskan bahawa keputusan itu mempunyai tempoh masa yang jelas, iaitu apabila Najib mula menjalani tahanan rumah.

“Perdana Menteri meminta saya meneruskan tugas buat sementara waktu. Beliau akan membuat keputusan, tetapi saya katakan perlu ada satu tempoh masa.

“Apabila Najib Razak pulang ke rumah, maka peletakan jawatan saya akan berkuat kuasa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Loke berkata, Anwar memahami pendiriannya yang mengaitkan keputusan berundur daripada Kabinet dengan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.

“Sehingga hari ini, Najib belum pulang ke rumah. Jadi Anwar meminta saya meneruskan tugas sementara beliau belum pulang.

“Sekiranya esok beliau dibebaskan dan pulang ke rumah, maka peletakan jawatan saya akan berkuat kuasa,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa tiada nama pengganti dikenal pasti setakat ini kerana peletakan jawatannya belum berkuat kuasa.

Katanya, soal pengganti Menteri Pengangkutan selepas itu terserah kepada pertimbangan Perdana Menteri.

Pada 19 September lalu, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP memutuskan Loke menjadi satu-satunya anggota Kabinet daripada parti itu yang akan berundur sebagai respons terhadap keputusan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib.

DAP pada masa sama memutuskan untuk kekal dalam kerajaan, manakala menteri dan timbalan menteri parti itu yang lain meneruskan tugas masing-masing bagi memastikan kestabilan kerajaan.

Najib sebelum ini diberikan pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Bagaimanapun, anak Najib, Datuk Nizar Razak, berkata bapanya tidak mampu membayar jumlah berkenaan, manakala usaha mengumpul dana bagi membantu pembayaran denda itu turut dilancarkan UMNO.

Setakat Ahad, kutipan dana berkenaan dilaporkan mencecah RM9.25 juta.

BBerkaitan

Latest articles