Bekas CEO FIC Didakwa Tipu Lembaga Pengarah Berhubung Projek Tanah Felda

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), Zaid Abdul Jalil, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memperdaya lembaga pengarah syarikat itu berkaitan cadangan pembangunan komersial tanah Felda di Jalan Semarak pada 2014.

Zaid, didakwa melakukan penipuan dengan memberikan maklumat tidak benar kepada lembaga pengarah FIC sehingga menyebabkan badan itu meluluskan pelantikan sebuah syarikat sebagai pemaju induk projek berkenaan.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama, Zaid didakwa memperdaya lembaga pengarah FIC dengan membuat representasi bahawa Synergy Promenade Sdn Bhd layak dilantik sebagai pemaju induk projek pembangunan komersial tanah Felda di Jalan Semarak, sedangkan beliau mengetahui syarikat berkenaan hanya layak bertindak sebagai perancang induk.

Perbuatan itu didakwa mendorong lembaga pengarah FIC meluluskan pelantikan Synergy Promenade sebagai pemaju induk projek tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Felda pada 16 Januari 2014.

Bagi pertuduhan kedua, Zaid didakwa memperdaya lembaga pengarah FIC berhubung nilai pasaran pembangunan komersial membabitkan 24 lot tanah Felda.

Beliau didakwa menyatakan nilai pasaran projek berkenaan ialah RM330.96 juta, sedangkan mengetahui jumlah sebenar yang dilaporkan Firdaus & Associates Property Professionals Sdn Bhd adalah RM691.7 juta.

Zaid juga didakwa memperdaya lembaga pengarah dengan menyatakan 24 lot tanah berkenaan mempunyai nilai RM180 juta, walaupun mengetahui Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta tidak pernah memberikan penilaian indikatif sedemikian kepada FIC.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan lembaga pengarah FIC menerima tawaran Synergy Promenade yang menetapkan pulangan minimum dijamin sebanyak RM500 juta atau 10 peratus daripada nilai pembangunan kasar, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kesalahan kedua itu didakwa berlaku di Menara Felda pada 29 April 2014.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya, Radzi Shah Razak, memohon jaminan RM50,000 bagi setiap pertuduhan selain meminta mahkamah mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali.

Bagaimanapun, peguam Zaid, Shahrullah Khan, memohon jumlah jaminan lebih rendah iaitu RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan anak guamnya berdepan masalah kewangan.

Peguam itu turut memaklumkan Zaid memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang siasatan dan pernah dua kali menjadi saksi pendakwaan, termasuk dalam kes membabitkan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan jaminan keseluruhan RM60,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengarahkan Zaid menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 Oktober ini.

BBerkaitan

Latest articles