JMWP Menentang Sekeras-Kerasnya Usaha Gugat Pegangan Akidah Umat Islam

PUTRAJAYA: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) menegaskan pihaknya menentang sekeras-kerasnya sebarang usaha, gerakan atau penyebaran fahaman yang cuba menggugat dan merosakkan pegangan akidah umat Islam di negara ini.

Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ahmad Fawwaz Fadzil menerusi kenyataan media berkata, JMWP memandang serius sebarang bentuk penyelewengan akidah yang menyimpang daripada ketetapan al-Quran dan al-Sunnah, Ijmak Ulama serta pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi teras pegangan umat Islam di Malaysia.

“JMWP menentang sekeras-kerasnya sebarang usaha, gerakan atau penyebaran fahaman yang cuba menggugat dan merosakkan pegangan akidah umat Islam di negara ini,” jelas kenyataan itu pada Selasa.

Sehubungan itu, JMWP menyeru seluruh umat Islam agar sentiasa berpegang teguh kepada fatwa-fatwa yang telah diputuskan berkaitan pegangan akidah dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang ajaran yang diragui kesahihannya.

Dalam masa yang sama, masyarakat diingatkan agar merujuk sebarang kemusykilan berkaitan akidah kepada badan-badan agama yang berautoriti dan tidak bertindak secara melulu sehingga boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam serta keharmonian sejagat.

Justeru, JMWP akan sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam membenteras sebarang tindakan yang boleh memesongkan akidah umat Islam di negara ini.

“Akidah yang sahih adalah tunjang kekuatan umat. Memeliharanya adalah tanggungjawab bersama,” ujar kenyataan itu lagi.

BBerkaitan

Latest articles