LUMUT: Malaysia hari ini memulakan penghantaran pulang kira-kira 1,500 pelarian Myanmar, dalam fasa pertama program membabitkan 5,000 warga negara itu yang menurut kerajaan bersetuju pulang secara “sukarela”.
Puluhan bas yang diiringi polis dilihat tiba di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, berhampiran Pangkalan Tentera Laut Lumut, bagi membawa kumpulan berkenaan untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Myanmar menggunakan kapal.
Wartawan AFP tidak dibenarkan memasuki kawasan stadium, manakala jumlah etnik Rohingya dalam kumpulan berkenaan tidak didedahkan pihak berkuasa.
Program itu sebelum ini mencetuskan kebimbangan kumpulan hak asasi manusia, khususnya berhubung keselamatan pelarian yang dihantar pulang.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), etnik Rohingya membentuk kira-kira dua pertiga daripada 190,000 pelarian dan pencari suaka Myanmar di Malaysia.
Pada Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 rakyatnya, susulan penahanan lebih 100 pelarian yang berhimpun di luar pejabat agensi pelarian PBB di Kuala Lumpur.
Awal bulan ini, Myanmar memberi jaminan bahawa rakyatnya yang pulang akan dibawa kembali secara “selamat dan bermaruah”.
Malaysia, yang menempatkan antara populasi pelarian terbesar di Asia Tenggara, bukan negara pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951 dan tidak mengiktiraf status pelarian secara rasmi.










