PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, meskipun beberapa pemimpin kedua-dua parti dilaporkan mengadakan pertemuan di sebuah hotel di Melaka, malam tadi.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata perkara berkaitan kerjasama politik hanya akan diputuskan melalui Majlis Presiden PH.
“Setakat ini kita tunggu Majlis Presiden. Belum ada apa-apa perkembangan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Pembiayaan Inisiatif Ubat Melalui Pos (UMP) di Kementerian Komunikasi, hari ini.
Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai pertemuan berkenaan dan hanya mengetahui mengenainya melalui laporan media.
“Saya belum terima apa-apa maklumat. Berdasarkan laporan media, ia hanya sesi makan malam.
“Pertemuan itu tidak dibincangkan dengan saya. Saya tidak hadir dan saya tidak ada maklumat,” katanya.
Pertemuan itu dilaporkan disertai beberapa pemimpin Bersatu, termasuk Ketua Penerangan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz; Pengarah Pilihan Raya, Mohammad Ali Mohamad; Ketua Sayap Bersekutu, R Sri Sanjeevan serta Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Hishamuddin Abdul Karim.
Turut hadir ialah Ketua Amanah Melaka, Ashraf Mukhlis Minghat dan Pemangku Ketua PKR Melaka, Adam Adli.
Sebelum ini, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, memaklumkan gabungan itu akan menggunakan formula ‘PH Plus’ pada PRN Melaka dengan membuka ruang kerjasama bersama parti lain yang mempunyai pendirian sehaluan.
Bagaimanapun, beliau berkata formula berkenaan setakat ini tidak membabitkan BN, manakala rundingan dengan Bersatu masih berlangsung tanpa sebarang keputusan muktamad.
Adly turut menegaskan bahawa sebarang rundingan berkaitan kerjasama politik perlu berlandaskan ketetapan Majlis Presiden PH.
Sementara itu, Tun Faisal pada 24 September lalu mengesahkan rundingan bagi membentuk pakatan pilihan raya bersama parti lain menjelang PRN Melaka masih berjalan.
PRN Melaka bakal menjadi perhatian selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 23 September lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengadakan mesyuarat pada 7 Oktober ini bagi membincangkan urusan pelaksanaan PRN Melaka ke-16, termasuk menetapkan tarikh penting pilihan raya berkenaan.










