KUALA LUMPUR: Pertemuan melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan PAS malam ini berakhir tanpa sebarang maklumat rasmi mengenai hasil perbincangan berkenaan.
Pertemuan yang difahamkan melibatkan seramai 25 ADUN itu bermula kira-kira jam 8.15 malam sebelum berakhir sekitar jam 11 malam.
Bagaimanapun, pihak media yang berkampung di lobi menara bagi mendapatkan perkembangan terkini tidak berpeluang mendapatkan sebarang reaksi daripada mereka yang menghadiri pertemuan tersebut.
Difahamkan, sebahagian besar mereka meninggalkan lokasi melalui pintu lain tanpa bertemu petugas media yang menunggu sejak awal malam.
Setakat jam 11 malam ini, tiada sebarang kenyataan rasmi diterima media mengenai perkara yang dibincangkan atau keputusan yang dicapai dalam pertemuan berkenaan.
Media bagaimanapun difahamkan UMNO akan mengeluarkan satu kenyataan berhubung hasil pertemuan malam ini.
Pertemuan itu menjadi perhatian susulan perkembangan politik semasa di Negeri Sembilan.










