KUALA LUMPUR: Kemelut pentadbiran Negeri Sembilan memasuki satu lagi fasa penting apabila Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim malam ini mengetuai barisan ADUN Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) ke Menara Dato’ Onn bagi mengadakan pertemuan dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ismail tiba di ibu pejabat UMNO itu kira-kira jam 8 malam, disusuli beberapa wakil rakyat negeri yang terbabit dalam pertemuan bagi membincangkan jalan keluar terhadap krisis pentadbiran negeri berkenaan.
Antara yang kelihatan hadir ialah ADUN Lenggeng, Datuk Asna Amin; Jeram Padang, Mohd Zaidy Abdul Kadir; Labu, Siti Nur Umaira Hasim; Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli; Chembong, Zaifulbahri Idris dan Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman.
Turut hadir Ketua UMNO Negeri Sembilan merangkap ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Pesuruhjaya PAS negeri merangkap ADUN Serting, Fairuz Mohd Isa serta ADUN Sikamat daripada Parti Wawasan Negara, Datuk Razali Abu Samah.
Pertemuan itu diadakan selepas Zahid mengumumkan lebih awal hari ini bahawa beliau akan menghimpunkan 25 ADUN BN, PAS dan Wawasan untuk menyelaras usaha mencari penyelesaian terhadap kemelut yang semakin berlarutan di Negeri Sembilan.
Zahid sebelum ini menegaskan pertemuan itu bukan bertujuan mencampuri urusan pentadbiran negeri, sebaliknya bagi mengkoordinasikan usaha politik untuk mengenal pasti pilihan penyelesaian yang selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan adat negeri.
Beliau turut memberi mandat kepada Ismail untuk meneruskan usaha mencari penyelesaian, termasuk menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin.
Kemelut semakin memuncak selepas Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) berkuat kuasa 20 September lalu. Keputusan itu kemudiannya diwartakan pada 24 September.
Istana Negeri Sembilan sebelum ini menjelaskan pembatalan itu dibuat selepas kesemua EXCO terbabit didapati melanggar sumpah serta ikrar taat setia yang dilafazkan sebelum pelantikan mereka.
Perkembangan itu berlaku selepas kesemua mereka sebelum ini terlibat dalam keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang mengesahkan proklamasi berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Ismail sendiri pada 17 September lalu mengesahkan keputusan MMKN berhubung perkara berkenaan.
Ismail bagaimanapun sebelum ini mempertikaikan pembatalan pelantikan EXCO oleh Tuanku Muhriz, dengan berhujah bahawa beliau tidak pernah memberikan nasihat atau permintaan untuk menamatkan pelantikan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, polis dijangka mengambil keterangan daripada 10 bekas EXCO Negeri Sembilan hari ini bagi membantu siasatan berhubung beberapa laporan polis yang dibuat berkaitan kemelut berkenaan.










