Isu New Age: Badan Bebas Perlu Siasat Timbalan Menteri – Khairuddin

KUALA LUMPUR: Tuduhan penglibatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan gerakan New Age yang dipertikaikan ajaran dan pemikirannya dari sudut Islam wajar disiasat oleh sebuah badan bebas yang tiada kaitan langsung dengan pengawasan menteri berkenaan.

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menegaskan, tindakan itu penting bagi mengelakkan sebarang keraguan dalam kalangan orang awam terhadap ketelusan siasatan yang dijalankan.

Menurut beliau, pelbagai tuduhan yang timbul ketika ini secara langsung melibatkan kredibiliti Kerajaan Perpaduan, khususnya dari sudut integriti penyelarasan serta pengurusan hal ehwal Islam di peringkat nasional.

“Tuduhan penglibatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan gerakan New Age yang dipertikaikan ajaran dan pemikirannya dari sudut Islam perlu disiasat oleh satu badan lain yang tiada kaitan dengan pengawasan Timbalan Menteri kerana ia boleh menimbulkan keraguan awam terhadap ketelusan.

“Tuduhan-tuduhan ini melibatkan kredibiliti Kerajaan Perpaduan dari sudut penyelarasan pengurusan hal ehwal Islam dalam negara,” ujar beliau dalam satu kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi kenyataan rasminya menegaskan bahawa jabatan itu kekal konsisten dan tegas menolak sebarang bentuk ajaran, fahaman, amalan atau pendekatan yang didapati bertentangan dengan syariat serta prinsip akidah Islam.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee memaklumkan bahawa pihak jabatan mengambil perhatian serius terhadap pelbagai persoalan yang dibangkitkan oleh masyarakat di media sosial berhubung isu tersebut.

Susulan itu, satu sesi pertemuan dan proses tabayyun telah diadakan bersama pihak berwajib yang turut melibatkan Mufti Wilayah Persekutuan serta Panel Pakar Akidah (PPA) JAKIM bagi meneliti perkara terbabit secara mendalam.

Hasil daripada sesi berkenaan, beberapa teguran, nasihat dan panduan telah diberikan merangkumi aspek kandungan pengisian program serta pendekatan yang mempunyai implikasi terhadap akidah.

Dalam masa sama, JAKIM turut menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang kesimpulan terburu-buru berdasarkan bahan tular yang beredar tanpa pengesahan yang sah.

BBerkaitan

Latest articles