PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil langkah tegas dengan memanggil Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli bagi mendapatkan penjelasan serta menjalankan sesi tabayyun berhubung isu unsur New Age Movement (NAM) yang dikaitkan dengan beliau baru-baru ini.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dalam satu kenyataan media menegaskan bahawa jabatan itu sentiasa konsisten dan tegas menolak sebarang ajaran, fahaman, amalan atau pendekatan yang bertentangan dengan syariat serta prinsip akidah Islam.
Menurut beliau, tindakan memanggil Marhamah dibuat susulan pertanyaan dan persoalan yang dibangkitkan oleh masyarakat di media sosial, termasuk melalui hantaran di halaman Facebook atas nama Masyitah Ashari.
Sesi pertemuan dan tabayyun tersebut turut melibatkan Mufti Wilayah Persekutuan serta Panel Pakar Akidah (PPA) JAKIM bagi meneliti perkara terbabit secara mendalam dari sudut disiplin ilmu, autoriti agama dan latar pemikiran NAM.
“Hasil pertemuan tersebut, beberapa teguran, nasihat dan panduan telah diberikan termasuk berkaitan kandungan serta pengisian program yang telah dijalankan, selain pendekatan yang didapati mempunyai implikasi terhadap agama dan akidah,” jelas Dr Sirajuddin.
Tambah beliau, penekanan khusus turut diberikan agar sebarang kandungan atau pendekatan yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap akidah umat Islam diperbetulkan dan dimurnikan, serta memastikan pengisian agama sentiasa berpandukan disiplin ilmu Islam yang sahih.
Dalam masa yang sama, JAKIM menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang kesimpulan melulu berdasarkan bahan tular yang beredar tanpa pengesahan atau di luar konteks yang betul.
JAKIM memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus melaksanakan amanah memelihara kesucian akidah umat Islam secara tegas, berhemah, serta berlandaskan ilmu dan autoriti agama yang sah.










