Polis Panggil Bekas Exco Negeri Sembilan Mulai Esok

BUTTERWORTH: Polis akan memanggil beberapa bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan mulai esok dan lusa bagi membantu siasatan berhubung kemelut pentadbiran negeri serta institusi diraja yang tercetus sejak kebelakangan ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata tindakan itu susulan sejumlah laporan polis yang diterima pihaknya berhubung isu berkenaan, termasuk laporan membabitkan pelbagai pihak yang mempunyai kaitan dengan perkembangan tersebut.

Menurutnya, selain bekas Exco, polis turut akan merakam keterangan saksi dan individu lain yang dikenal pasti mempunyai maklumat berkaitan bagi melengkapkan siasatan.

“Memang banyak laporan polis telah dibuat oleh pihak-pihak tertentu. Kita akan menjalankan siasatan dan mengambil keterangan daripada mereka yang berkaitan, termasuk bekas Exco dan mereka yang terlibat.

“Setakat ini, polis sudah memanggil beberapa individu untuk dirakam percakapan, termasuk seorang atau dua individu yang berkemungkinan menjadi saksi dalam kes ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Projek Whitening the Blackspot Kontinjen Polis Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng.

Khalid berkata, siasatan akan diteruskan secara menyeluruh sebelum kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menentukan tindakan selanjutnya.

Katanya, polis masih meneliti semua laporan yang diterima sebelum mengenal pasti peruntukan undang-undang yang bersesuaian untuk digunakan dalam setiap kes.

Beliau tidak menolak kemungkinan terdapat laporan yang mempunyai kaitan dengan Akta Hasutan atau peruntukan undang-undang lain, bergantung kepada hasil siasatan.

“Polis menyiasat, tetapi yang membuat keputusan sama ada hendak mendakwa dan sebagainya ialah Peguam Negara.

“Mungkin dalam beberapa kes ada kaitan dengan Akta Hasutan, mungkin ada pelanggaran lain dan perkara itu memerlukan penelitian daripada semua pihak, terutama Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Khalid memberi jaminan keadaan keselamatan dan ketenteraman awam di Negeri Sembilan ketika ini kekal terkawal.

Beliau berkata masyarakat negeri itu dilihat memahami perkembangan semasa dan memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa.

“Kita cuba mengekalkan suasana itu dengan sempurna demi keselamatan masyarakat dan rakyat di Negeri Sembilan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles