SEREMBAN: Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25, menggesa Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim meletakkan jawatan susulan penglibatannya dalam kemelut membabitkan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
G25 mendakwa kedudukan Ismail sebagai Menteri Besar kini sukar dipertahankan selepas beliau didakwa menandatangani proklamasi berkaitan penyingkiran Tuanku Muhriz, sebelum memberikan pendirian berbeza mengenai status dokumen tersebut.
Menurut kumpulan itu, Ismail mengangkat sumpah jawatan serta ikrar taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 2 Ogos, namun dikatakan menandatangani proklamasi berkenaan sehari kemudian.
“Beliau telah kehilangan kredibiliti susulan percubaannya untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah negeri yang sah, selain gagal memberikan penjelasan mengenai pihak yang didakwa memaksanya menandatangani proklamasi itu.
“Lebih serius, pada 16 September beliau mengambil pendirian yang bercanggah mengenai kesahihan proklamasi tersebut,” kata G25 dalam kenyataan.
G25 turut mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didakwa melakukan perbuatan khianat atau hasutan dalam pertikaian berhubung institusi diraja Negeri Sembilan.
Gesaan itu dibuat ketika pendirian Ismail mengenai proklamasi berkenaan menjadi perhatian selepas beliau sebelum ini menyatakan dokumen tersebut tidak sah kerana tidak mematuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. Namun, pada 17 September, beliau mengesahkan keputusan Exco negeri yang menyokong proklamasi berkenaan.
Perkembangan itu kemudian mendapat teguran Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menegaskan Menteri Besar dan Exco Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar.
AGC juga menyatakan proklamasi bertarikh 19 April tidak sah kerana tidak memenuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, manakala sebarang pengumuman Exco berhubung perkara itu tidak mempunyai kesan undang-undang.
G25 berkata kesucian Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang perlu dipertahankan dengan tegas bagi mengelakkan institusi dan ketenteraman awam terhakis.
Sementara itu, Tuanku Muhriz kemudian membatalkan pelantikan 10 anggota Exco kerajaan negeri susulan perkembangan tersebut.










