Rais Yatim Didakwa Hasut Berkait Krisis Adat Negeri Sembilan, Mengaku Tidak Bersalah

MELAKA: Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan berkaitan kemelut adat dan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Jun lalu.

Tokoh politik berusia 84 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Rais, yang juga Pengerusi Parti Wawasan Negara (Wawasan) dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Simpang Ampat, Alor Gajah, kira-kira jam 1 petang, 5 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, Rais didakwa menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan menghasut, antaranya mendoakan keselamatan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 serta menyeru supaya taat setia diberikan kepada baginda.

Kenyataan berkenaan turut menyentuh soal lunas undang-undang dan adat yang menjadi asas kepada pemerintahan di Negeri Sembilan.

Pertuduhan terhadap Rais dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, yang dibaca bersama hukuman di bawah subseksyen sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, barisan lima peguam yang mewakili Rais, diketuai anaknya sendiri, Danni Rais, memohon jumlah itu dikurangkan.

Pihak pembelaan antara lain berhujah bahawa Rais memberikan kerjasama baik kepada pihak berkuasa, selain hanya dimaklumkan mengenai pertuduhan terhadapnya kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Raja Noor Adilla membenarkan Rais diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes itu menarik perhatian selepas kenyataan Rais dibuat ketika kemelut berkaitan kedudukan institusi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan menjadi isu perundangan dan adat yang diperdebatkan.

BBerkaitan

Latest articles