Rais Yatim Dijangka Didakwa Di Mahkamah Sesyen Melaka Esok

KUALA LUMPUR: Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, dijangka berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Melaka, Ayer Keroh, esok, ketika namanya terus dikaitkan dengan kemelut institusi diraja Negeri Sembilan.

Menurut rekod sistem e-Kehakiman, tokoh politik berusia 84 tahun itu dijadualkan hadir di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin pada jam 9 pagi, 25 September.

Rais ketika dihubungi turut mengesahkan perkara itu dan memaklumkan prosiding akan berlangsung di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh.

Bagaimanapun, jenis dan butiran pertuduhan yang bakal dihadapinya belum didedahkan setakat ini.

Perkembangan itu hadir ketika Rais menjadi antara tokoh utama yang lantang bersuara dalam kemelut takhta Negeri Sembilan sejak April lalu.

Beliau sebelum ini secara terbuka menyokong tindakan Undang Yang Empat berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan hadir dalam majlis di sebuah hotel di Melaka pada Jun lalu ketika Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.

Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan menegaskan pengisytiharan berkenaan tidak mempunyai kesan dari sudut perlembagaan, undang-undang dan adat negeri, menjadikan isu itu sebahagian daripada kemelut institusi diraja yang masih berlarutan.

Rais, yang pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dari 1978 hingga 1982, turut menjadi antara suara yang mempertikaikan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung krisis berkenaan.

Beliau baru-baru ini mendakwa AGC tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan dalam isu berkaitan takhta Negeri Sembilan.

Pada Julai lalu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menitahkan penarikan balik dua darjah kebesaran negeri yang dikurniakan kepada Rais.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, ketika itu berkata keputusan berkenaan dibuat bagi memelihara kemuliaan, maruah dan kehormatan institusi diraja Negeri Sembilan.

Dua darjah kebesaran yang ditarik balik ialah Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (SPNS) dan Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan (DSNS).

Selain pernah menerajui Negeri Sembilan, Rais juga pernah memegang beberapa portfolio Kabinet termasuk Menteri Luar, Menteri Penerangan serta Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, selain menjadi Yang Dipertua Dewan Negara dari 2020 hingga 2023.

BBerkaitan

Latest articles