Kesahan Warta Pembatalan Pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan Boleh Dipertikai

SEREMBAN: Kesahan warta berhubung pembatalan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan dipertikaikan apabila seorang peguam berhujah tindakan itu menimbulkan beberapa persoalan dari sudut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, berdasarkan penelitiannya terhadap warta yang diterbitkan hari ini, terdapat sekurang-kurangnya tiga asas yang menurut pandangannya boleh digunakan untuk mempertikaikan kesahan pembatalan pelantikan berkenaan.

Warta itu menyatakan pelantikan 10 Exco berkenaan dibatalkan berkuat kuasa 20 September 2026 oleh Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pertama, Hasnal berhujah Tuanku Muhriz telah diturunkan takhta menerusi proklamasi yang kini menjadi pertikaian dan, sekiranya proklamasi itu sah serta berkuat kuasa, baginda tidak lagi mempunyai kuasa perlembagaan untuk melaksanakan tindakan berkenaan.

Justeru, menurutnya, timbul persoalan mengenai kapasiti Tuanku Muhriz untuk melaksanakan kuasa Yang di-Pertuan Besar pada tarikh pembatalan pelantikan Exco tersebut.

Kerajaan negeri sebelum ini mengambil pendirian bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz bertarikh 19 April adalah sah dan berkuat kuasa serta mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baharu.

Bagaimanapun, kedudukan itu sendiri masih menjadi pertikaian undang-undang dan perlembagaan.

Kedua, Hasnal berhujah bahawa kuasa menamatkan jawatan Exco adalah kuasa “Raja”, bukannya kuasa Yang di-Pertuan Besar yang boleh dilaksanakan secara bersendirian.

Menurut tafsirannya, “Raja” dalam konteks UUTKNS merangkumi Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

“Yang di-Pertuan Besar tidak boleh bertindak sendirian tanpa perkenan yang lain. Warta ini tidak mencerminkan bahawa Baginda bertindak sebagai Raja,” katanya.

Atas tafsiran tersebut, beliau berpandangan tindakan menamatkan pelantikan Exco perlu dilaksanakan melalui struktur institusi beraja Negeri Sembilan sebagaimana diperuntukkan di bawah UUTKNS dan bukannya melalui tindakan Yang di-Pertuan Besar secara bersendirian.

Ketiga, Hasnal berhujah kuasa menamatkan pelantikan seseorang Exco perlu dilaksanakan oleh Raja atas nasihat Menteri Besar.

Menurutnya, Perkara 38(5) UUTKNS tidak seharusnya dibaca secara berasingan, sebaliknya perlu ditafsirkan bersama peruntukan lain berkaitan pelaksanaan kuasa eksekutif negeri.

Atas tafsiran itu, beliau berpendapat sebarang penamatan atau perubahan komposisi Exco ketika sesuatu pentadbiran masih berjalan perlu dibuat atas nasihat Menteri Besar.

Pendirian itu selari dengan hujah Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, yang sebelum ini menegaskan beliau tidak pernah dirujuk atau memberi nasihat berhubung pemberhentian mana-mana Exco Kerajaan Negeri.

Ismail sebelum ini berhujah tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian seseorang Exco tanpa nasihat atau permintaan Menteri Besar merupakan satu kekhilafan dari sudut perundangan dan tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang.

Bagaimanapun, tafsiran berhubung perkara itu tidak sependapat dalam kalangan pengamal undang-undang.

Peguam Muhammad Hariz Md Yusoff sebelum ini dilaporkan mengambil pendirian berbeza dengan menyatakan pembatalan pelantikan Exco oleh Tuanku Muhriz adalah sah dan berperlembagaan berdasarkan Perkara 38(5), yang memperuntukkan seseorang anggota Exco memegang jawatan selama diperkenankan Yang di-Pertuan Besar.

Istana Negeri Sembilan sebelum ini turut menggunakan Perkara XXXVIII(5) UUTKNS sebagai asas pembatalan pelantikan 10 Exco selepas mendapati mereka memungkiri sumpah jawatan susulan tindakan dan kenyataan mereka pada 15 September lalu.

Menurut kenyataan Istana, kesemua Exco terbabit telah mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lalu sebelum pelantikan mereka dibatalkan berkuat kuasa serta-merta pada 20 September.

Pertikaian terbaharu itu sekali gus menambah satu lagi dimensi kepada kemelut perlembagaan Negeri Sembilan, khususnya mengenai siapakah yang mempunyai kuasa untuk menamatkan pelantikan Exco, sama ada kuasa berkenaan boleh dilaksanakan Yang di-Pertuan Besar secara bersendirian serta sama ada nasihat Menteri Besar diperlukan bagi melaksanakan kuasa tersebut.

BBerkaitan

Latest articles