PAS Pulau Pinang: UMNO Pilih Kerusi Berbanding Penyatuan Ummah

GEORGE TOWN: PAS Pulau Pinang kesal terhadap pendirian pimpinan UMNO negeri yang terus mempertahankan kerjasama di bawah gabungan PH-BN, disifatkan sebagai mengutamakan jawatan berbanding agenda penyatuan ummah.

Ketua Penerangannya, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, rasa kesal itu susulan kenyataan Exco Kerajaan Negeri merangkap Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal, Datuk Rashidi Zinol pada 22 September lalu yang menggesa agar kerjasama PH-BN di negeri itu terus diperkukuh.

Menurut beliau, gesaan tersebut dibuat pada masa yang tidak tepat ketika isu penyatuan ummah sepatutnya menjadi agenda paling besar dan mendesak bagi orang Melayu-Islam, sama ada di peringkat negeri mahupun nasional.

“Lebih mendukacitakan, kenyataan itu dibuat ketika kedudukan UMNO sendiri dalam kerajaan negeri sedang dipersoalkan oleh rakan gabungannya sendiri.

“Penasihat DAP, Lim Guan Eng, secara terbuka mendesak agar UMNO disingkirkan daripada kerajaan Pulau Pinang, manakala Ketua Menteri pula menyerahkan nasib wakil BN kepada keputusan Majlis Presiden PH.

“Hakikatnya, UMNO Pulau Pinang hanya memegang satu kerusi Exco, dan kedudukan itu pun bergantung sepenuhnya kepada budi bicara PH-DAP,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Mengulas lanjut, PAS Pulau Pinang turut membandingkan situasi di negeri itu dengan perkembangan di Negeri Sembilan, di mana BN dilaporkan telah membuka ruang kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Justeru, parti itu mempersoalkan sikap pimpinan UMNO Pulau Pinang masih memilih untuk menjadi pelengkap kepada pentadbiran PH-DAP berbanding bersama-sama membina kekuatan ummah demi masa depan negeri.

Walau bagaimanapun, PAS Pulau Pinang menegaskan bahawa pihaknya tetap menghormati pilihan politik UMNO negeri dan mengucapkan selamat maju jaya kepada pimpinan terbabit kerana tidak meletakkan penyatuan ummah sebagai agenda utama pada ketika ini.

“Pintu dialog PAS sentiasa terbuka. Namun rakyat akan menilai sendiri siapa yang benar-benar berjuang menyelamatkan Pulau Pinang dan Malaysia, dan siapa yang sekadar selesa dengan jawatan,” ujar Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

BBerkaitan

Latest articles