MELAKA: Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, menegur satu hantaran poster milik Biro Penerangan BN DUN Asahan, Alor Gajah, yang didapati memaparkan kesilapan pada lambang bendera Negeri Melaka dalam bahan publisiti parti berkenaan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka mengingatkan semua anggota Pakatan Harapan (PH) serta pengendali media sosial dan pereka grafik agar memastikan penggunaan bendera Malaysia dan bendera Negeri Melaka sentiasa mematuhi spesifikasi rasmi yang betul.
Menurut Poay Tiong, biarpun penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) kini semakin popular dalam membantu menghasilkan reka bentuk poster dan bahan kempen politik, setiap hasil akhir tetap memerlukan semakan serta pemeriksaan teliti sebelum dimuat naik ke platform awam.
“Peringatan kepada semua anggota PH, terutama yang terlibat dalam menghasilkan design, pastikan bendera Malaysia dan bendera Negeri Melaka digunakan dengan betul,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.
Beliau menambah bahawa kemudahan teknologi moden tidak seharusnya menjadi alasan untuk meremehkan ketepatan simbol kedaulatan negara dan negeri.
“Kita faham sekarang ramai yang menggunakan AI untuk membantu menghasilkan design. Tetapi, setiap hasil tetap perlu disemak dan diperiksa dengan teliti sebelum dimuat naik,” jelasnya.
Hantaran yang dikongsikan oleh Poay Tiong turut merujuk kepada hantaran poster oleh pihak Biro Penerangan BN DUN Asahan di Parlimen Alor Gajah yang memaparkan barisan pemimpin tempatan berserta latar belakang grafik yang menyertakan lambang negeri.
Dalam pada itu, wakil rakyat Kota Melaka tersebut turut mengambil kesempatan mencuit perhatian pengikut media sosial dengan nada berjenaka, menasihatkan orang ramai agar segera memaklumkan kepada pentadbir halaman berkenaan supaya kesilapan itu dapat diperbetulkan tanpa perlu mencetuskan ketegangan politik.
“Kepada sesiapa yang mengenali admin page tersebut, tolong maklumkan kepada mereka supaya boleh diperbetulkan. Tapi jangan sampai marah-marah mereka seperti Akmal pula,” katanya.










