PN Ambil Tindakan Undang-undang, Dakwa Notis ROS Bermotifkan Tekanan Politik

​KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengesahkan menerima notis dan perintah daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung cadangan pembatalan pendaftaran gabungan itu serta arahan penggantungan aktiviti.

​Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya menerima notis di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 bagi maksud ROS hendak membatalkan pendaftaran PN selepas tempoh tunjuk sebab selama 30 hari diberikan.

​Menurutnya, cadangan pembatalan tersebut dikesan berkaitan dengan aduan daripada Parti BERSATU terhadap PN berhubung suatu mesyuarat bertarikh 16 Julai 2026.

​”PN juga susulan dari Notis di atas telah menerima suatu Perintah di bawah subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 yang memerintahkan penggantungan semua kegiatannya sehingga tarikh yang tidak ditentukan,” katanya menerusi kenyataan media pada Khamis.

​Mengulas lanjut, beliau berkata kedua-dua notis dan perintah berkenaan diserahkan kepada PN secara berturut-turut pada 22 dan 23 September 2026.

​Jelasnya, penyerahan itu kebetulan pada hari pengumuman dan kuat kuasa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam waktu terdekat.

Jelasnya lagi, ​PN mengambil maklum keputusan ROS tersebut, namun menegaskan bahawa mereka tidak bersetuju dengan asas keputusan terbabit.

​Sehubungan itu, pihak kepimpinan sedang mengambil langkah-langkah segera melalui proses undang-undang yang tersedia demi mempertahankan matlamat penubuhan dan agenda perjuangan yang didokong oleh ahli serta penyokong.

​”PN tidak menolak kemungkinan tindakan terhadap PN adalah natijah agenda berniat jahat (mala fide) dan tekanan politik yang memangsakan PN daripada pihak-pihak dari dalam dan luar PN,” ujarnya.

​Dalam pada itu, PN menyeru semua ahli dan penyokong agar bertenang kerana perkara tersebut sedang diuruskan dengan sebaiknya, selain berjanji menyalurkan maklumat serta dokumen berkaitan kepada masyarakat secara telus dari semasa ke semasa.

​Bagi memastikan keselarasan maklumat, PN turut menguatkuasakan perintah larangan (gag order) serta-merta kepada mana-mana pihak daripada mengeluarkan sebarang kenyataan bagi pihak PN, kecuali Pengerusi dan Setiausaha Agung PN sahaja.

BBerkaitan

Latest articles