KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT) mengesahkan peletakan jawatan Muhamad Hamdi Harun sebagai ketuanya berkuat kuasa pada Rabu.
Setiausaha DPPNT, Mohd Riduan Abu Bakar berkata, keputusan itu diterima dalam Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa Kerja DPPNT yang bersidang pada 23 September 2026 bersamaan 11 Rabiulakhir 1448.
”Mesyuarat telah menerima peletakan jawatan Muhamad Hamdi Harun sebagai Ketua DPPNT dan bersetuju melantik barisan pemangku bagi sesi 2026 hingga 2027,” katanya menerusi kenyataan media pada Rabu.
Berikutan kekosongan tersebut, mesyuarat sebulat suara melantik Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli sebagai Pemangku Ketua Pemuda Pas Terengganu.
Selain itu, mesyuarat turut melantik Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin sebagai Pemangku Timbalan Ketua Pemuda dan Abdul Manaff Ghani sebagai Pemangku Naib Ketua bagi sesi berkenaan.
“Pihak DPPNT turut mendoakan agar barisan kepimpinan pemangku tersebut terus maju jaya serta memperoleh keberkatan dan pertolongan daripada ALLAH SWT dalam menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan.” kata kenyataan itu.










