JPJ Nafi Dakwaan Kerajaan Benarkan Rohingya Ambil Lesen Memandu

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menegaskan dakwaan kononnya kerajaan bercadang membenarkan etnik Rohingya mengambil lesen memandu di Malaysia adalah palsu.

JPJ berkata, kandungan yang tular di media sosial itu menggunakan nama, identiti dan imej jabatan bagi mewujudkan gambaran seolah-olah ia laporan rasmi.

Menurutnya, satu hantaran menerusi akaun Facebook Along Auto Parts memaparkan tajuk “JPJ Cadang Benarkan Rohingya Ambil Lesen Memandu”, sedangkan kandungan berkenaan bukan kenyataan yang dikeluarkan jabatan.

“JPJ memandang serius tindakan mana-mana pihak yang menghasilkan, mengubah suai atau menyebarkan kandungan dengan menggunakan nama, identiti atau imej jabatan sehingga boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan kredibiliti JPJ.

“Laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah dibuat bagi membolehkan siasatan dan tindakan sewajarnya diambil berhubung penyebaran kandungan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Dakwaan sama turut dikesan dikongsi oleh pengguna media sosial lain dengan menggunakan imej beberapa pegawai JPJ ketika menghadiri satu sidang media.

Imej berkenaan kemudiannya disertakan tajuk berbentuk pertanyaan, “JPJ Cadang Benarkan Rohingya Ambil Lesen Memandu?”, yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna.

JPJ dalam pada itu mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan kandungan yang sumber dan kesahihannya tidak dapat disahkan.

Orang ramai turut dinasihatkan mendapatkan maklumat berkaitan dasar, peraturan dan urusan JPJ hanya melalui saluran rasmi jabatan bagi mengelakkan kekeliruan serta penyebaran berita palsu.

BBerkaitan

Latest articles