YTL AI Labs lancar Nemotron-Personas-Malaysia, tampil 1.35 juta profil sintetik

KUALA LUMPUR — YTL AI Labs hari ini mengumumkan pelancaran Nemotron-Personas-Malaysia, set data terbuka yang dibangunkan bersama NVIDIA bagi membantu pembangunan kecerdasan buatan (AI) yang memahami kepelbagaian bahasa, budaya dan latar belakang masyarakat Malaysia.

Set data itu mengandungi 1.35 juta profil individu sintetik yang dijana daripada 150,000 rekod asas berpandukan taburan statistik demografi rasmi negara. Profil sintetik ialah profil rekaan yang dibina untuk mencerminkan ciri penduduk dan bukannya mewakili individu sebenar.

Menurut YTL AI Labs, set data berkenaan tidak mengandungi data peribadi dan tiada individu boleh dikenal pasti melaluinya. Ia tersedia untuk kegunaan termasuk tujuan komersial di bawah lesen terbuka CC-BY-4.0.

Nemotron-Personas-Malaysia turut menjadi set data pertama dalam koleksi NVIDIA Nemotron-Personas yang mengutamakan bahasa Melayu.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs, Foong Chee Mun, berkata pembangunan AI generasi seterusnya bukan sahaja bergantung pada saiz model, malah sejauh mana teknologi itu memahami masyarakat yang menggunakannya.

Beliau berkata, bahasa, budaya, institusi dan cara kerja masyarakat Malaysia perlu diterapkan sejak peringkat asas pembangunan AI supaya teknologi berkenaan dapat memenuhi keperluan tempatan.

“Nemotron-Personas-Malaysia menyediakan asas terbuka untuk dibangunkan oleh seluruh ekosistem kita,” katanya dalam kenyataan.

Setiap profil dijana menggunakan jadual kebarangkalian yang dibina daripada data terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia, OpenDOSM, MyCensus, eStatistik dan penerbitan tenaga buruh negara.

Pendekatan itu bertujuan mencerminkan taburan penduduk di peringkat nasional dan wilayah, dengan mengambil kira kepelbagaian etnik sehingga ke peringkat daerah.

Selain Melayu, Cina dan India, set data tersebut merangkumi komuniti Kadazan-Dusun, Bajau, Murut, Iban, Bidayuh dan Melanau, serta kategori Bumiputera mengikut wilayah di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Keseluruhannya, set data itu meliputi 39 medan maklumat, termasuk umur, jantina, pekerjaan serta ciri personaliti berasaskan model lima faktor OCEAN, iaitu kerangka yang digunakan dalam psikologi personaliti.

Menurut syarikat itu, pembangun boleh menggunakan profil berkenaan untuk menjana data sintetik, memperhalusi model AI, menguji keselamatan serta menilai prestasi aplikasi bagi pelbagai kumpulan pengguna.

Antara kegunaannya ialah menguji ejen khidmat pelanggan dengan profil pengguna daripada negeri, pekerjaan, kumpulan umur dan bahasa yang berbeza. Institusi perbankan pula boleh menilai kefahaman AI terhadap cara rakyat Malaysia menyatakan keperluan kewangan, manakala agensi kerajaan boleh menguji keberkesanan perkhidmatan digital merentas kumpulan sosioekonomi.

Kerjasama tersebut menggabungkan teknologi penjanaan data sintetik NVIDIA menerusi pustaka NeMo Data Designer dan kerangka Nemotron-Personas dengan kepakaran YTL AI Labs dalam konteks demografi, bahasa serta budaya tempatan.

Pelancaran itu turut memperluas usaha Kumpulan YTL membangunkan keupayaan AI berdaulat negara, yang merangkumi infrastruktur pengkomputeran YTL AI Cloud dan keluarga model bahasa ILMU.

Nemotron-Personas-Malaysia tersedia secara terbuka di platform Hugging Face dan serasi dengan pustaka NVIDIA NeMo.

BBerkaitan

Latest articles