PUTRAJAYA – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri, menurut Jabatan Peguam Negara.
Dalam kenyataan medianya malam ini, jabatan itu menyatakan pandangan mereka bahawa urusan pelantikan, termasuk penggantungan tugas bagi kedua-dua jawatan berkenaan, terletak di bawah bidang kuasa suruhanjaya masing-masing.
Urusan Setiausaha Kerajaan Negeri berada di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, manakala Penasihat Undang-Undang Negeri di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.
Menurut jabatan itu, bidang kuasa berkenaan termaktub dalam Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Kenyataan itu merujuk kepada kenyataan media Menteri Besar Negeri Sembilan pada tarikh sama mengenai penggantungan tugas kedua-dua pegawai tersebut yang berkuat kuasa serta-merta.
Jabatan Peguam Negara turut menegaskan bahawa pelantikan Penasihat Undang-Undang Negeri yang baharu hendaklah mematuhi peruntukan Perkara 37.
Pelantikan itu perlu dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.
Sebelum itu, Petang tadi, Kerajaan Negeri Sembilan menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara dalam Mesyuarat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada Selasa.
Beliau mengumumkan bahawa Datuk Masri Razali yang juga Pegawai Kewangan Negeri dinamakan untuk menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga penyandang baharu dinamakan oleh Ketua Setiausaha Negara.
“Manakala tugas memberikan nasihat perundangan akan dilaksanakan oleh Fahmi Adilah, seorang peguam bela dan peguam cara sehingga Penasihat Undang-Undang baru dinamakan oleh Jabatan Peguam Negara,” ujar beliau










