KKM Percepat Urusan Waris Mangsa Nahas FDS

KUALA LUMPUR: Kebajikan keluarga lima mangsa tragedi helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) diberi perhatian segera apabila Kementerian Kesihatan (KKM) menggerakkan usaha mempercepatkan segala urusan berkaitan faedah persaraan dan pampasan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF) sedang diperkukuh bagi memastikan urusan pencen terbitan, pampasan ex-gratia serta faedah persaraan untuk waris diselesaikan secepat mungkin.

Dalam masa sama, operasi FDS kekal dihentikan buat sementara waktu sehingga siasatan rasmi terhadap nahas berkenaan selesai.

Beliau berkata, perkhidmatan itu hanya akan disambung apabila KKM berpuas hati bahawa tahap keselamatan kru yang terlibat benar-benar terjamin.

“Sepanjang tempoh penggantungan, keperluan kesihatan penduduk di pedalaman tidak boleh dibiarkan terjejas,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Sehubungan itu, bantuan logistik melalui JBPM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus digunakan bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman Sarawak kekal mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Menurut Dzulkefly, keselamatan petugas serta kesinambungan rawatan kepada rakyat merupakan dua perkara yang tidak boleh dikompromi KKM.

Nahas pada 8 September lalu berlaku berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang apabila helikopter BO-105 yang membawa lima individu terhempas.

Kesemua mereka disahkan terkorban, terdiri daripada juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31; serta jururawat Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

BBerkaitan

Latest articles