Tindakan Kerajaan Negeri Gantung Tugas SUK, PUN Dipersoal

SEREMBAN: Tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri (PUN) berkuat kuasa serta-merta kini dipersoalkan dari sudut perundangan.

ADUN Bukit Kepayang, Nicole Tan, berkata tindakan pentadbiran tersebut memerlukan penjelasan lanjut terutamanya mengenai punca kuasa sebenar yang membolehkan MMKN bertindak sedemikian.

“Pertama, apakah sumber kuasa MMKN untuk menggantung tugas kedua-dua pegawai tersebut?

“Keputusan MMKN secara sebulat suara tidak dengan sendirinya memberikan kuasa undang-undang.

“Kuasa tersebut mestilah bersumberkan Perlembagaan, undang-undang, peraturan perkhidmatan atau delegasi kuasa yang sah,” tegas beliau dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Sembilan menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara dalam Mesyuarat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada Selasa.

Beliau mengumumkan bahawa Datuk Masri Razali yang juga Pegawai Kewangan Negeri dinamakan untuk menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga penyandang baharu dinamakan oleh Ketua Setiausaha Negara.

Dalam pada itu, Nicole turut membangkitkan persoalan sama ada langkah menggantung tugas itu dikategorikan sebagai tindakan pentadbiran atau tatatertib, di samping menekankan perbezaan kedudukan antara SUK yang berada di bawah Perkhidmatan Awam Negeri Sembilan dan PUN sebagai anggota Judicial and Legal Service.

Menurutnya, tindakan merujuk kes berkenaan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta Jabatan Peguam Negara selepas keputusan dibuat turut menimbulkan tanda tanya mengenai bidang kuasa pihak berkuasa perkhidmatan terbabit.

Beliau mengingatkan bahawa dalam isu yang menyentuh Perlembagaan dan pentadbiran negeri, setiap langkah yang diambil mesti mempunyai asas undang-undang yang jelas demi menjunjung prinsip keluhuran Perlembagaan yang menetapkan semua pihak tertakluk kepada undang-undang.

BBerkaitan

Latest articles