Kerjasama PH-BN Pulau Pinang Perlu Terus Diperkukuh

GEORGE TOWN: Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di peringkat Kerajaan Negeri Pulau Pinang disifatkan telah berjalan dengan amat baik serta konstruktif, selain perlu terus diperkukuhkan demi kestabilan dan kepentingan rakyat.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan Negeri Pulau Pinang, Datuk Rashidi Zinol berkata, sepanjang tempoh tiga tahun menjalankan amanah di dalam pentadbiran kerajaan negeri, beliau tidak pernah berdepan sebarang masalah dalam hubungan kerja bersama pimpinan serta rakan-rakan daripada PKR dan DAP.

“Sebaliknya, hubungan kerja yang terjalin adalah berasaskan sikap saling menghormati, persefahaman, komunikasi yang baik serta keutamaan terhadap kepentingan rakyat dan pembangunan negeri,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Rashidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal berkata perbezaan latar belakang parti tidak seharusnya menjadi penghalang kepada mana-mana pihak untuk bekerjasama memandangkan matlamat utama adalah memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar serta rakyat terus mendapat manfaat sepenuhnya.

Beliau turut berpandangan bahawa kerjasama yang dibina di Pulau Pinang sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun 2023 merupakan satu bentuk persefahaman politik yang perlu dihargai dan diperkukuhkan, di mana keputusan PH Pulau Pinang mengekalkan wakil BN dalam pentadbiran sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang mencerminkan kepentingan kesinambungan tersebut.

Dalam pada itu, Rashidi turut menyatakan sokongan padu terhadap pendirian di peringkat Pusat agar Kerajaan Perpaduan terus dipertahankan dan diperkukuhkan sehingga tamat penggal pentadbiran.

“Saya percaya kestabilan politik bukan sekadar mengenai parti atau jawatan, tetapi mengenai kemampuan kita untuk bekerja bersama, menghormati perbezaan dan menyelesaikan perkara yang memberi kesan kepada rakyat.

“Kerjasama yang baik perlu diteruskan. Perbezaan boleh diraikan, tetapi kepentingan rakyat mesti sentiasa diutamakan,” jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau berharap agar semangat kerjasama serta persefahaman antara PH dan BN di Pulau Pinang akan terus dipelihara demi kestabilan negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat di negeri ini.

BBerkaitan

Latest articles