MB Negeri Sembilan, Exco Dijadual Hadap Tuanku Nadzaruddin esok

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dijadual menghadap Tunku Besar Seri Menanti Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dalam Majlis Menghadap Sembah Takzim di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar di sini, esok.

Pertemuan bermula jam 9 pagi itu diadakan bagi sesi suai kenal dan mengeratkan silaturahim antara Menteri Besar serta barisan Exco baharu dengan baginda.

Turut dijangka hadir pada pertemuan berkenaan ialah Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin serta Dato’ Shahbandar Sungei Ujong.

Sebelum ini, media melaporkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan pembatalan pelantikan Exco berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua Exco terbabit memungkiri sumpah jawatan mereka.

Sehubungan dengan itu, Menteri Besar hendaklah mempersembahkan senarai calon Exco yang baharu untuk pertimbangan dan perkenan Duli Yang Maha Mulia mengikut Perkara XXXVIII(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Bagaimanapun, susulan arahan tersebut, Ismail dalam kenyataan berasingan menegaskan bahawa tiada keperluan untuk mengemukakan senarai Exco baharu kerana barisan Exco sedia ada masih sah di sisi undang-undang dan akan meneruskan tugas seperti biasa.

BBerkaitan

Latest articles