SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jabatan Peguam Negara diingatkan supaya tidak mencampuri urusan pentadbiran dan adat di Negeri Sembilan, khususnya berkaitan kuasa prerogatif melantik serta menurunkan takhta pemerintah negeri.
Peringatan keras itu terkandung dalam kenyataan media bersama oleh Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin yang mengecam sekeras-kerasnya sebarang campur tangan pihak luar dalam isu peralihan kuasa institusi Diraja negeri berkenaan.
Menurut kenyataan bersama itu, tindakan mencampuri urusan tersebut bukan sahaja melanggar prinsip keluhuran perlembagaan, malah disifatkan sebagai satu bentuk tekanan yang tidak wajar terhadap kedudukan adat beraja di Negeri Sembilan.
“Janganlah semata-mata kerana laba dan pengaruh politik atau tunduk kepada tekanan pihak tertentu, Perdana Menteri sanggup melakukan apa sahaja tanpa menggunakan akal dan hati nurani, malah tidak segan silu melanggar prinsip keluhuran Perlembagaan,” demikian menurut kenyataan tegas tersebut.
Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin turut menegaskan bahawa sebarang tindakan berterusan yang mencabuli hak perlembagaan itu dikhuatiri melanggar sumpah jawatan Perdana Menteri di bawah Jadual Keenam serta pecahan amanah terhadap Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam masa sama, kenyataan itu menolak sekeras-kerasnya tohmahan pihak tertentu yang mendakwa kononnya penurunan takhta Tunku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dibuat atas arahan Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).
Pihak Undang Yang Empat menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah satu fitnah jahat yang dirancang demi kepentingan peribadi pihak tertentu, sedangkan Menteri Besar dan EXCO hanya melaksanakan tugas perlembagaan berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
“Menteri Besar dan EXCO sama sekali tidak mempunyai kuasa (menurunkan takhta), sebaliknya ia adalah hak dan adat prerogatif Kami yang turut termaktub di dalam Perkara 7], Perkara 10 dan Perkara 11 UUTKNS 1959,” jelas kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, rakyat Negeri Sembilan diseru agar kekal tenang, tidak mudah terpengaruh dengan sebarang provokasi luar, serta terus taat setia kepada pemerintahan yang sah di bawah Undang Yang Empat dan institusi beraja negeri.










