SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan memandang serius serta mengutuk sekeras-kerasnya penglibatan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam usaha menyingkirkan dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir daripada takhta.
PH Negeri Sembilan dalam kenyataan pada Selasa berkata, tindakan berkenaan amat serius kerana menyentuh secara langsung prinsip kesetiaan kepada Raja dan Negara sebagaimana terkandung dalam Rukun Negara.
Menurutnya, usaha menyingkirkan Tuanku Muhriz didakwa dilakukan menerusi proses yang tidak mematuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), khususnya Perkara 10(1) dan 10(2).
“Pada pendirian PH Negeri Sembilan, usaha menyingkirkan DYMM Yang di-Pertuan Besar melalui proses yang tidak mematuhi UUTKNS 1959, diikuti tindakan pentadbiran untuk mengiktiraf seorang Yang di-Pertuan Besar yang lain dan membawa perkara tersebut kepada pengetahuan Raja-Raja Melayu, merupakan suatu penderhakaan secara terang-terangan terhadap Raja Pemerintah.
“PH Negeri Sembilan memandang perkara ini sebagai suatu penderhakaan yang amat besar terhadap institusi Raja Negeri Sembilan dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut,” menurut kenyataan itu.
PH Negeri Sembilan berkata perkara berkenaan menjadi lebih serius apabila ia melibatkan individu yang memegang amanah dalam pentadbiran Kerajaan Negeri serta telah mengangkat sumpah dan ikrar taat setia kepada Tuanku Muhriz dan institusi Diraja.
Jelasnya, kesetiaan kepada Raja dan Negara mesti diterjemahkan melalui tindakan dan bukan sekadar dilafazkan melalui sumpah serta ikrar.
“Tiada mana-mana anggota pentadbiran negeri boleh memilih untuk mematuhi titah Raja hanya apabila titah tersebut selari dengan kehendak mereka sendiri,” katanya.
PH Negeri Sembilan turut menyeru supaya keseluruhan perkara itu disiasat secara telus, bebas dan menyeluruh oleh pihak berkuasa yang berkaitan.
“Sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, tindakan tegas hendaklah diambil tanpa mengira kedudukan, pangkat atau jawatan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini menyatakan Proklamasi 19 April 2026 mengenai kedudukan Tuanku Muhriz tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS 1959. AGC turut menyatakan Menteri Besar dan MMKN tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Pada 16 September lalu, kesemua 10 Exco Negeri Sembilan membuat keputusan kolektif menganggap proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai sah dan mengiktiraf Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu.
Bagaimanapun, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menyatakan keputusan Exco berhubung perkara itu tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang dan berada di luar bidang kuasa mereka.
Sementara itu, PH Negeri Sembilan turut memaklumkan akan mengadakan Munajat Rakyat Negeri Sembilan dengan Solat Hajat secara berjemaah di Seremban pada 24 September ini.
Program berkenaan akan disusuli dengan penganjuran Solat Hajat di peringkat Parlimen pada minggu-minggu berikutnya.
“Kita memohon kepada Allah SWT agar segala kekusutan dapat diuraikan, kebenaran diperlihatkan serta Negeri Sembilan terus dipelihara dalam keamanan, keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan,” menurut kenyataan itu.










