​KUALA LUMPUR: UMNO perlu memasuki Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dengan keyakinan yang teguh serta tawaran masa depan yang lebih dinamik dan bukannya bersandar kepada nostalgia masa lalu semata-mata.
​Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, landskap politik negara kini sedang berubah dengan pantas di samping pola sokongan rakyat yang semakin dinamik.
​Beliau yang juga Menteri Besar Pahang menegaskan bahawa parti perlu membaca perubahan berkenaan serta memahami kehendak rakyat bagi memastikan UMNO kekal relevan dan menjadi sebahagian daripada kekuatan yang membentuk masa depan negara.
​”Perkembangan di beberapa negeri memberikan kita isyarat yang jelas bahawa rakyat sedang menilai semula pilihan mereka. Sabah memberikan kita peringatan, Johor memberikan kita kebangkitan, Negeri Sembilan memberikan kita keyakinan dan insya-Allah Pahang akan memberikan kita kecemerlangan.
​”Kita mesti membaca perubahan ini, memahami kehendak rakyat dan yang lebih penting menjadi sebahagian daripada kekuatan yang membentuk perubahan tersebut. Politik Malaysia sedang mencari keseimbangan baharu,” katanya.
​Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.
​Mengulas lanjut, Wan Rosdy menyatakan sokongan penuh terhadap Agenda Malaysia Biru yang dibawakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, namun mengingatkan bahawa agenda besar berkenaan tidak akan bergerak dengan sendirinya jika tidak diterjemahkan ke peringkat akar umbi.
​Bagi memperkukuhkan Agenda Malaysia Biru, beliau mencadangkan empat pendekatan berteraskan akronim ‘BIRU’ iaitu Bina hubungan, Ikat pengundi, Rampas hati dan Ubah persepsi.
​Menurut beliau, B merujuk kepada membina hubungan dengan rakyat sepanjang masa dan mendekati pelbagai lapisan masyarakat seperti anak muda, golongan profesional, usahawan, petani, pekerja serta wanita.
​I pula adalah mengikat pengundi menerusi khidmat, kepercayaan dan penyelesaian masalah tanpa hanya memohon sokongan ketika musim pilihan raya semata-mata.
​Sementara itu, R merujuk kepada merampas hati rakyat melalui kerja nyata dan kepimpinan yang memahami denyu nadi mereka, manakala U bermaksud berani mengubah persepsi masyarakat terhadap UMNO dengan menyampaikan naratif perjuangan serta pencapaian parti yang jelas.
​Dalam pada itu, Wan Rosdy turut menegaskan azam kepimpinan UMNO Pahang untuk mempertahankan negeri berkenaan sebagai kubu kuat parti pada PRU16 akan datang.
​”Untuk makluman para perwakilan sekalian, hanya negeri Pahang sahajalah DNA-nya tidak putus, UMNO yang memimpin Kerajaan Negeri Pahang. Negeri lain pernah terputus tetapi Pahang tidak pernah.
“Oleh itu, kita wajib pertahankan negeri Pahang supaya DNA ini tidak putus jatuh kepada parti lain,” tegas beliau.
​Beliau turut mengingatkan ahli parti agar tidak diselimuti rasa selesa dengan kejayaan lalu, memandangkan kejatuhan sesebuah parti bermula apabila anggotanya terlalu yakin mereka tidak akan tewas.
​










