KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa kerajaan telah melucutkan wang simpanan dalam akaun Tabung Haji (TH) milik ahli keluarga bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, dinafikan sekeras-kerasnya oleh peguamnya.
Peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, wang yang disimpan dalam akaun TH milik keluarga anak guamnya tidak mempunyai kaitan dengan pertuduhan yang sedang dihadapi Azeez, selain tidak pernah dibuktikan sebagai dana milik TH.
Menurutnya, kewujudan akaun simpanan di TH tidak boleh secara automatik ditafsirkan sebagai bukti bahawa wang berkenaan berasal daripada institusi itu.
“Kewujudan simpanan dalam akaun TH semata-mata tidak bermaksud bahawa wang tersebut berasal daripada TH,” katanya dalam satu kenyataan.
Amer berkata, akaun berkenaan bersama wang yang disimpan di dalamnya memang pernah menjadi subjek siasatan pihak berkuasa.
Namun, beliau menegaskan tiada wang dalam akaun berkenaan pernah dilucutkan oleh kerajaan, selain tiada dapatan bahawa ia merupakan dana TH yang diselewengkan Azeez atau hasil daripada kegiatan yang menyalahi undang-undang.
“Bagaimanapun, wang simpanan dalam akaun-akaun tersebut tidak pernah dilucuthakkan oleh kerajaan, dan tidak terdapat apa-apa dapatan bahawa wang tersebut merupakan wang TH yang telah diselewengkan oleh anak guam kami atau hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Penjelasan itu dibuat susulan penyebaran dakwaan di media sosial yang mengaitkan Azeez serta keluarganya dengan kehilangan atau pelucuthakan wang daripada akaun TH.
Amer turut menegaskan bahawa pertuduhan terhadap anak guamnya tidak bermaksud Azeez didakwa mengambil, menggelapkan atau menyalahgunakan RM193.5 juta dana TH untuk kepentingan peribadi atau keluarganya.
Sebaliknya, katanya, pertuduhan yang dihadapi Azeez berkaitan dakwaan penyalahgunaan kedudukan bagi memperoleh suapan dalam bentuk jawatan pengerusi dan faedah di sebuah syarikat lain.
Pada 9 September lalu, Azeez mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap pertuduhan berkenaan.
Azeez didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai Pengerusi TH dengan mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif ketika itu, Tan Sri Ismee Ismail, mencadangkan pelantikannya sebagai wakil TH dalam lembaga pengarah Putrajaya Perdana.
Beliau juga didakwa mengarahkan Ismee supaya meyakinkan anggota Lembaga Pengarah TH untuk meluluskan cadangan pelaburan berjumlah RM193.5 juta dalam Putrajaya Perdana, sebuah syarikat yang didakwa mempunyai kepentingan terhadap Azeez.
Susulan itu, Amer menggesa semua pihak supaya tidak membuat kesimpulan berdasarkan dakwaan yang tersebar di media sosial, sebaliknya merujuk kepada fakta dan kandungan sebenar pertuduhan di mahkamah.
Peguam itu turut memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didakwa menyebarkan maklumat palsu, mengelirukan atau berunsur fitnah berhubung perkara berkenaan.
“Anak guam kami dan ahli-ahli keluarganya merizabkan segala haknya, termasuk hak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang menerbitkan atau menyebarkan kenyataan palsu, mengelirukan atau memfitnah berhubung perkara ini,” katanya.










