Keluarga Najib Luah Kecewa Pengampunan Belum Kesampaian

KUALA LUMPUR: Keluarga Datuk Seri Najib Razak tidak dapat menyembunyikan kekecewaan selepas keputusan mengenai permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri itu tidak seperti yang diharapkan.

Isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, perkembangan berkenaan amat dirasai keluarga, khususnya selepas mereka menaruh harapan tinggi terhadap kemungkinan keputusan yang lebih positif.

“Sebagai seorang isteri, saya berasa kecewa. Terutamanya apabila saya membaca berita mengenai Peter Anthony yang boleh pulang ke rumah. Saya tumpang gembira untuk isterinya dan ahli keluarga mereka.

“Bagaimana saya mahu menjelaskan kepada cucu-cucu saya mengenai harapan mereka? Satu-satunya perkara yang boleh kami lakukan ialah mengajar mereka agar sentiasa berdoa dan menyerahkannya kepada Allah.

“Insya-Allah, satu hari nanti, pasti ada sinar di hujung terowong,” katanya memetik Berita Harian.

Rosmah turut merakamkan penghargaan kepada penyokong Najib yang terus memberikan sokongan serta mendoakan bekas Perdana Menteri itu, meskipun perkembangan terbaharu mungkin mengecewakan sebahagian mereka.

Katanya, Najib juga menyedari bahawa masih ramai penyokong di luar sana yang tidak pernah berhenti mendoakan kesejahteraannya.

“Kepada penyokong yang meletakkan harapan tinggi dan kemudiannya kecewa, terima kasih di atas segala doa dan mesej sokongan anda. Suami saya tahu anda semua di luar sana sentiasa mendoakannya,” katanya.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan untuk dibawa ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan pada masa akan datang.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung semalam.

BBerkaitan

Latest articles