KUALA LUMPUR: Wanita UMNO menuntut komitmen yang lebih tegas dan jelas berhubung kuota 30 peratus penglibatan golongan itu sebagai pembuat dasar serta calon dalam pilihan raya.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Batu Pahat, Haliza Abdullah berkata, pengiktirafan kepada sayap wanita itu tidak boleh sekadar terhenti pada kata-kata manis atau pujian sebagai ‘tulang belakang’, ‘tiang seri’ dan ‘akar kekuatan party’.
Sebaliknya, menurut beliau, pengiktirafan tersebut perlu diterjemahkan secara nyata menerusi ruang, peluang dan kepercayaan dalam struktur kepimpinan serta penentuan calon.
”Kita tidak meminta keistimewaan, tetapi yang kita minta adalah kepercayaan, laluan dan peluang.
”Jangan hanya panggil wanita bila pilihan raya dah dekat, bila nak suruh jentera bergerak atau tanya berapa undi putih yang kita dapat. Tapi bila dasar nak dirangka, strategi politik hendak ditentukan dan keputusan penting parti hendak dibuat, suara wanita menjadi mengecil.
”Apabila kita bercakap tentang penglibatan wanita hari ini, kita bukan bercakap tentang sebuah jentera pilihan raya semata-mata, tetapi satu struktur politik UMNO yang mempunyai seramai 1.4 juta ahli wanita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Haliza menggesa agar pelaksanaan sasaran 30 peratus penglibatan wanita dibuat secara wajib dan objektif berdasarkan meritokrasi, bukannya sekadar bergantung kepada pertimbangan subjektif.
”Pemilihan wanita tidak boleh lagi menjadi perkara subjektif seperti ‘kalau ada kerusi kita bagi’ atau ‘kalau sesuai kita pertimbangkan’.
”Ia mesti berasaskan meritokrasi. Kita mahu setiap negeri dan bahagian mengenal pasti calon wanita berpotensi lebih awal, bukan kerana dia wanita semata-mata, tetapi kerana wanita yang berkualiti dan berkemampuan,” tegas beliau.
Tambah Haliza, kesetiaan serta kerja keras Wanita UMNO yang menjangkau usia 77 tahun terbukti menjadi nadi utama parti dalam menghadapi cabaran politik masa kini.
Justeru, beliau berharap kepimpinan tertinggi parti dapat meletakkan Wanita UMNO di tempat yang sepatutnya dalam membuat keputusan penting demi masa depan UMNO.










