‘Rindu Saya Ka?’ Patung Najib Curi Perhatian Di PAU 2026, Rosmah Terharu

KUALA LUMPUR: Bukan Datuk Seri Najib Razak yang muncul di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 kali ini, tetapi ‘versi’ dirinya dalam bentuk patung rekaan bersaiz sebenar yang dibawa seorang penyokong, hari ini.

Kehadiran patung berkenaan ternyata mencuri perhatian di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malah turut mengundang rasa terharu dalam kalangan keluarga bekas Perdana Menteri itu.

Isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, menerusi hantaran di Facebook berkata, tindakan individu dikenali sebagai ‘Mr J’ itu jelas menggambarkan kerinduan penyokong terhadap suaminya yang juga bekas Presiden UMNO.

Menurut Rosmah, beliau dimaklumkan bahawa patung tersebut dihasilkan sendiri oleh Mr J sebagai cara untuk melepaskan rasa rindu terhadap Najib.

“Kami sangat terharu dengan apa yang dilakukannya. Terima kasih, anak muda.

“Esok, apabila saya ke Kajang untuk melawat suami saya, saya akan ceritakan perkara ini kepadanya,” katanya.

Dalam klip yang dikongsikan, Mr J dilihat membawa patung berkenaan berkeliling WTC Kuala Lumpur, termasuk memberi peluang kepada penyokong bergambar ‘bersama’ Najib.

Lebih mencuit hati, patung itu turut dilengkapi dialog ringkas: “Hai! Rindu saya ka?”

Mr J juga berseloroh kepada mereka yang merindui bekas Perdana Menteri itu dengan berkata, “Datuk Seri Najib dalam perjalanan ke PWTC.”

Rosmah berkata, perasaan kecewa sememangnya tidak dapat dielakkan apabila harapan untuk melihat Najib kembali bersama mereka belum kesampaian.

“Ramai yang merindui Datuk Seri Najib, begitu juga keluarga kami.

“Perasaan kecewa tidak dapat dielakkan kerana kami melangkah ke hadapan dengan penuh harapan. Namun, hanya setakat ini yang mampu kami lakukan,” katanya.

Walaupun sekadar patung, kemunculannya di PAU 2026 hari ini nyata menjadi simbol kecil kepada rasa rindu sebahagian penyokong terhadap bekas Presiden UMNO itu.

BBerkaitan

Latest articles