KUALA LUMPUR: Umno menggesa semua pihak supaya tidak bertindak terburu-buru atau melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu proses permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, gesaan itu dibuat selepas kerajaan memaklumkan permohonan pengampunan Najib ditangguhkan untuk dipertimbangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang.
Menurutnya, Umno memahami kekecewaan dan keresahan ahli parti serta rakyat yang sekian lama menantikan perkembangan berhubung permohonan berkenaan.
“Namun, Umno menyeru semua pihak supaya terus bertenang, menghormati institusi Raja-Raja Melayu dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses yang sedang berjalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Asyraf berkata, Umno pada masa sama menjunjung kasih dan menghormati sepenuhnya institusi Yang di-Pertuan Agong serta proses yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa pengampunan.
Katanya, parti itu mengambil maklum keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang menangguhkan permohonan pengampunan Najib ke mesyuarat akan datang.
“Umno berharap permohonan tersebut dapat dipertimbangkan pada mesyuarat akan datang tanpa kelewatan yang tidak perlu, selaras dengan proses undang-undang dan Perlembagaan,” katanya.
Dalam pada itu, Asyraf menegaskan pendirian Umno untuk memperjuangkan keadilan bagi Najib tidak pernah bermaksud mencabar institusi negara atau proses perundangan yang sedang berlangsung.
Sebaliknya, katanya, segala usaha berhubung perkara itu akan terus dilakukan menerusi saluran yang sah dan diperuntukkan di bawah Perlembagaan serta undang-undang.
“Umno tidak akan berhenti memperjuangkan keadilan. Kita akan terus berusaha melalui saluran Perlembagaan, undang-undang dan institusi yang sah sehingga segala proses berkaitan Najib diberikan pertimbangan sewajarnya,” katanya.
Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri memaklumkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-63 yang bersidang hari ini memutuskan permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke mesyuarat akan datang.
Kenyataan itu turut memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan permohonan berkenaan ditangguhkan untuk pertimbangan pada mesyuarat seterusnya.










