BDS Malaysia Desak Avisena Semak Keputusan Terima Pelaburan Avisena-KKR

KUALA LUMPUR: BDS Malaysia menggesa pengurusan Avisena Healthcare (Avisena) supaya menyemak semula keputusannya membenarkan firma pelaburan global, Kohlberg Kravis Roberts & Co (KKR), memperoleh kepentingan besar dalam syarikat penyedia perkhidmatan kesihatan berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, BDS Malaysia menjelaskan pihaknya telah membuat pembetulan (errata) terhadap kenyataan media bertarikh 10 Sept, yang sebelum ini mendakwa KKR merupakan pemilik tidak langsung kepada platform iklan dalam talian Israel, Yad2 Internet Ads Ltd melalui Aviv Group.

Menurut pertubuhan itu, KKR sebenarnya bukan lagi pemilik tidak langsung Yad2 berikutan pelupusan pegangan saham oleh Aviv Group pada tahun 2025.

Walau bagaimanapun, BDS Malaysia menegaskan pendirian serta gesaannya kepada Avisena sebagaimana dinyatakan dalam kenyataan terdahulu tetap tidak berubah.

BDS Malaysia memaklumkan bahawa KKR masih mempunyai pelbagai portfolio pelaburan utama dan pembabitan secara langsung dalam pelbagai syarikat serta infrastruktur teknologi di Israel.

Antaranya termasuk pelaburan dalam Guesty (platform pengurusan hartanah Israel), Global Technical Realty (pengendali pusat data bawah tanah), Semperis (syarikat keselamatan siber dengan aktiviti R&D di Israel), serta Artlist (platform kandungan digital berpangkalan di Tel Aviv).

“Walaupun kami menghormati keperluan Avisena untuk memperoleh modal dan tidak menuduhnya terlibat secara langsung dalam jenayah Israel, menerima dana daripada entiti seperti KKR menimbulkan persoalan etika yang serius.

“Ini terutamanya mengenai nilai-nilai Avisena sebagai sebuah syarikat penjagaan kesihatan yang komited terhadap prinsip-prinsip rawatan berperikemanusiaan,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, BDS Malaysia menyeru pengurusan Avisena agar mempertimbangkan semula penerimaan pelaburan berkenaan demi menjaga reputasi dan integriti nilai jenamanya.

Pertubuhan itu turut menyeru rakyat Malaysia supaya membuat pertimbangan dengan teliti sebelum memutuskan untuk menggunakan kemudahan kesihatan di bawah rangkaian Avisena.

BBerkaitan

Latest articles