KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengingatkan kepimpinan parti itu agar tidak mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyegerakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) secara terburu-buru.
Beliau mengulas tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendesak supaya PRU16 disegerakan atas alasan kononnya ia merupakan kehendak rakyat.
Menurut Puad, senario itu mengingatkan beliau kepada desakan ahli parti ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pasca-Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor pada 2022 agar PRU15 disegerakan.
“Dulu apabila UMNO menang PRN Melaka dan Johor 2022, terdapat desakan kuat di PAU UMNO agar Ismail Sabri segerakan pilihan raya. Tetapi Ismail Sabri degil, akhirnya UMNO kalah teruk di PRU15.
“Kali ini di PAU UMNO 2026, Zahid desak disegerakan PRU16 dan kata itu kehendak rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat.
Puad berpandangan Anwar tidak akan terburu-buru melayan desakan berkenaan memandangkan Kerajaan Perpaduan masih mahu menumpukan perhatian kepada keberhasilan siasatan dan tindakan berhubung isu Lembaga Tabung Haji (TH) serta Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
Beliau menambah, suasana di PAU 2026 yang mempamerkan parti itu berada pada puncak keyakinan menerusi pelbagai slogan seperti ‘pilih biru tolak biru cair’, ‘biru campur hijau’ dan ‘cukup-cukuplah guru’ membuktikan kekhuatiran kepimpinan parti terhadap peralihan momentum.
“Kata-kata itu membuktikan Zahid sudah tidak sabar merampas Putrajaya.
“Kalau PRU lambat, UMNO bimbang naratif berubah, momentum menurun dan trust deficit boleh berulang. Kes Ismail Lassim dengan Istana contoh terkini yang boleh menjejaskan imej UMNO yang baru menang besar,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Puad berseloroh mengenai jawapan balas yang mungkin diberikan Anwar berhubung desakan berkenaan.
“Jangan nanti PMX menyindir Zahid, ‘Sabarlah muridku. Banyak lagi jurus silat aku belum ajar. Kamu belum khatam’,” ujarnya.










