Semangat Atlet ‘Istimewa’ Mengagumkan – MB Selangor


​SHAH ALAM: Semangat perjuangan, pengorbanan dan kecekalan yang dipamerkan oleh atlet-atlet para dalam Temasa Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Selangor 2026 disifatkan sebagai sesuatu yang amat luar biasa dan mengagumkan.

​Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kekurangan yang ada pada setiap atlet istimewa berkenaan tidak pernah menjadi penghalang untuk mereka mencipta kejayaan serta mengharumkan nama negeri masing-masing.

​Menurut beliau, pengorbanan serta usaha gigih para atlet ini memberi banyak pengajaran dan iktibar tersendiri kepada seluruh masyarakat.

​”Semangat mereka memang luar biasa. Perjuangan dan pengorbanan mereka lebih istimewa kerana kekurangan yang ada tidak lagi menjadi penghalang kepada kemahuan dan perjuangan untuk berjaya menempah nama.

​”Kita berikan tepukan dan penghormatan kepada semua atlet para, pegawai serta pasukan sokongan yang bertungkus-lumus menjayakan temasya kali ini,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Para SUKMA Selangor 2026 di Shah Alam, malam tadi.

​​Dalam pada itu, Amirudin turut menzahirkan harapan agar barisan atlet istimewa negara dapat meneruskan momentum kecemerlangan ke peringkat lebih tinggi, seterusnya melangkah ke pentas Paralimpik dan bergelar juara dunia.

​Ujar beliau, Selangor sentiasa berbangga menjadi tuan rumah yang melahirkan bakat-bakat baharu menerusi penganjuran temasya berkenaan.

​”Lahirnya bakat-bakat baharu dan pelapis yang lebih kompetitif ini diharap dapat terus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa kelak.

​”Walaupun ada kekangan dan cabaran seperti isu jerebu serta perbelanjaan yang terhad, kerajaan negeri tetap berusaha memberikan perkhidmatan, kelayakan dan suasana pertandingan yang terbaik serta adil buat semua,” katanya.

​Temasya Para SUKMA Selangor 2026 menyaksikan penyertaan seramai 1,352 atlet dari seluruh negara yang bertanding dalam 10 jenis acara sukan.

​Pada majlis berkenaan, bendera kejohanan turut diserahkan secara rasmi kepada negeri Kelantan yang bakal menjadi tuan rumah bagi temasya SUKMA dan Para SUKMA edisi ke-23 pada tahun 2028.

BBerkaitan

Latest articles