PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan akan menentukan sama ada Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Khas mempunyai bidang kuasa mendengar prosiding berkaitan perintah injunksi yang membabitkan beberapa pembesar adat Negeri Sembilan.
Kes itu membabitkan Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Thahak bersama lima yang lain sebagai perayu, manakala Raja Norazli Raja Nordin sebagai responden.
Dalam prosiding hari ini, peguam bagi pihak perayu, Awang Armadajaya Awang Mahmud, berhujah bahawa rayuan berkenaan menyentuh persoalan undang-undang Perlembagaan yang penting, khususnya mengenai bidang kuasa mahkamah dalam mendengar perkara itu.
Menurutnya, prosiding komital di Mahkamah Tinggi wajar digantung sehingga isu bidang kuasa diputuskan bagi mengelakkan rayuan utama kehilangan tujuan praktikalnya.
Bagaimanapun, pihak responden membantah permohonan berkenaan dengan menegaskan bahawa sesuatu perintah mahkamah wajib dipatuhi selagi belum diketepikan.
Pihak responden turut berhujah bahawa prosiding berkaitan dakwaan penghinaan mahkamah perlu diselesaikan segera demi kepentingan pentadbiran keadilan.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan berhubung permohonan penggantungan kepada tarikh yang akan ditetapkan.
Awang Armadajaya kemudian berkata prosiding akan diteruskan selepas 14 September melalui pengurusan kes secara e-Review bagi menentukan tarikh sambungan pendengaran.
“Penggantungan ad interim yang diberikan sebelum ini turut dilanjutkan sehingga keputusan bagi kes atau hujahan hari ini dibuat,” katanya kepada pemberita.
Menurut beliau, Mahkamah Rayuan perlu menentukan dalam rayuan utama sama ada perkara itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Khas atau Mahkamah Tinggi.
Katanya, prosiding boleh diteruskan di Mahkamah Tinggi sekiranya mahkamah berkenaan diputuskan mempunyai bidang kuasa.
“Bagaimanapun, jika diputuskan bahawa hanya Mahkamah Khas mempunyai bidang kuasa, perkara tersebut perlu dirujuk ke mahkamah berkenaan dan bukannya diteruskan di Mahkamah Tinggi.
“Sekiranya ada penentuan sedemikian, semua prosiding di Mahkamah Tinggi boleh menjadi terbatal,” katanya.
Awang Armadajaya menjelaskan bahawa isu utama dalam rayuan bukan berkaitan kandungan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi, sebaliknya sama ada mahkamah itu mempunyai bidang kuasa ketika permohonan injunksi didengar.
Menurutnya, persoalan tersebut merupakan isu undang-undang Perlembagaan yang besar kerana berpotensi memberi implikasi terhadap hak dan kes membabitkan Raja-Raja Melayu serta, dalam konteks kes itu, Undang dan Datuk Besar Tampin.
Beliau berkata keputusan kes berkenaan berpotensi menjadi perkembangan penting dalam undang-undang Perlembagaan negara, khususnya berkaitan tafsiran Perkara 182 dan Perkara 183 Perlembagaan Persekutuan.
Antara persoalan yang perlu diputuskan termasuk ruang lingkup bidang kuasa Mahkamah Khas serta sama ada keizinan perlu diberikan sendiri oleh Peguam Negara.
“Keputusan itu juga boleh menimbulkan persoalan lain berkaitan kekebalan, keistimewaan dan perkara seumpamanya. Bagaimanapun, saya tidak mahu memberikan hujah lanjut sebelum rayuan didengar,” katanya.
Mengulas latar belakang kes, Awang Armadajaya berkata satu permohonan injunksi difailkan pada awal Jun bagi menghalang pihak perayu daripada melakukan beberapa tindakan.
Permohonan itu pada mulanya dibuat secara sebelah pihak atau ex parte, sebelum didengar secara inter partes dengan kehadiran kedua-dua pihak.
Mahkamah kemudiannya membenarkan injunksi berkenaan.
Beliau berkata beberapa perkembangan didakwa berlaku antara tempoh permohonan injunksi itu dengan permohonan untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah, termasuk mesyuarat tertentu serta pengisytiharan Yang Tuan Ke-12.
Pihak perayu kemudian memohon supaya injunksi berkenaan diketepikan, namun permohonan itu masih belum diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.
Dalam masa sama, permohonan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah telah didengar dan kebenaran untuk meneruskannya diberikan.
“Jika injunksi itu tidak dibenarkan di sisi undang-undang, maka isu prosiding menghina mahkamah tidak timbul.
“Asasnya ialah sama ada mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah injunksi berkenaan,” katanya.










