KUALA LUMPUR: Perubahan iklim tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai masalah alam sekitar, sebaliknya merupakan isu kemanusiaan, kesihatan dan penuaan yang menuntut perhatian serius terhadap perlindungan golongan rentan, khususnya warga emas.
​Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berkata, pengalaman peribadi beliau sebagai penjaga kepada ibunya yang berusia 81 tahun dan menghidap demensia membuka pandangan beliau terhadap betapa kritikalnya aspek daya tahan iklim bagi golongan yang memerlukan penjagaan khusus.
​”Perubahan iklim tidak memeriksa usia anda sebelum ia melanda.
“Tetapi usia boleh menentukan sejauh mana anda mampu bertahan daripadanya,” katanya ketika membincangkan impak perubahan iklim terhadap warga emas pada Persidangan Tahunan AFPPD 2026, hari ini.
​Sesi tersebut dipengerusikan oleh Senator Datuk Wira Dr Mohd Hatta Ramli, bersama Dolores Devesi daripada IPPF Pacific yang mengetengahkan isu remaja perempuan, pendidikan serta kesihatan, manakala Ahli Parlimen Pakistan, Sahibzada Sibghatullah, membahaskan peranan golongan muda di barisan hadapan krisis iklim.
​Syerleena berkata, realiti penjagaan harian mendedahkan pelbagai kerentanan yang sering terlepas pandang, termasuk kebimbangan sama ada warga emas mendapat bekalan air yang mencukupi pada hari cuaca panas melampau, memahami situasi persekitaran, atau mampu bertindak balas ketika kecemasan tanpa bantuan.
​”Pengalaman itu telah mengubah cara saya melihat perubahan iklim. Ia bukan sekadar isu alam sekitar.
“Ia adalah isu kemanusiaan, isu kesihatan, isu penjagaan, dan semakin hari, ia menjadi isu penuaan,” ujar beliau.
​Beliau menegaskan bahawa ketahanan iklim negara tidak wajar diukur semata-mata berdasarkan keupayaan infrastruktur fizikal bertahan, tetapi mesti dinilai menerusi sejauh mana perlindungan dapat diberikan kepada golongan yang paling bergantung kepada masyarakat.










