KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menghubungi Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berhubung dakwaannya bahawa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan kepada parti itu untuk menjatuhkan kerajaan pada 2014.
Perkara itu disahkan Setiausaha Politik Hadi yang juga Ahli Parlimen Bachok, Syahir Che Sulaiman, yang memaklumkan pihaknya bersedia memberikan kerjasama penuh kepada polis.
“Tuan Guru (Hadi) telah dimaklumkan dan sedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.
“Tarikh dan masa akan ditentukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perkembangan itu menyusul selepas tiga laporan polis dibuat terhadap dakwaan berkenaan pada Ahad lalu.
Laporan berkenaan dibuat oleh tiga pemimpin PKR Bandar Tun Razak, masing-masing Naib Ketuanya, V Jonathan; Ketua Wanita, Mazlina Osman; serta Timbalan Ketua Pemuda, Amarul Hisham Jalil, di Balai Polis Cheras.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, sebelum ini mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan dan memaklumkan perkara itu akan dirujuk kepada polis Wangsa Maju.
Dakwaan Hadi itu tercetus ketika beliau menyampaikan ucapan pada Muktamar Tahunan PAS Ke-72, Sabtu lalu.
Dalam ucapannya, Hadi mendakwa PAS pernah menerima tawaran daripada pihak asing untuk membantu menjatuhkan kerajaan ketika lawatan bekas Presiden AS, Barack Obama, ke Malaysia pada 2014.
Beliau turut mendakwa dua pemimpin PAS ketika itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, yang ketika itu merupakan setiausaha politiknya, pergi ke sebuah kedutaan untuk mengadakan pertemuan berkaitan perkara berkenaan.
Bagaimanapun, Kedutaan AS di Kuala Lumpur menafikan dakwaan tersebut.
Kedutaan berkenaan menegaskan bahawa AS tidak pernah berusaha untuk menentukan siapa yang memimpin Malaysia, sekali gus menolak dakwaan bahawa negara itu pernah menawarkan bantuan bagi menjatuhkan kerajaan Malaysia.










